England sedia hadapi ‘Battle of Britain’



DOHA, QATAR – NOVEMBER 26: Gareth Southgate, Head Coach of England, looks on during the England Training Session at Al Wakrah Stadium on November 26, 2022 in Doha, Qatar. (Photo by Alex Pantling/Getty Images)

DOHA: Pengurus England, Gareth Southgate menyedari Wales mempunyai “motivasi tambahan” apabila dua pasukan itu bertemu pada aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia awal pagi esok.

Pertembungan yang digelar ‘Battle of Britain’ di Stadium Ahmed bin Ali itu amat ditunggu-tunggu peminat kedua-dua negara dengan suasana ‘derby’ dijangka bagi perlawanan lewat malam di ibu negara Qatar itu.

England, yang tidak kalah di tangan Wales sejak 1984 selain memenangi enam perlawanan terdahulu, boleh layak ke pusingan 16 terakhir jika berjaya mengelakkan kekalahan empat gol.

Bagi Wales, harapan mereka untuk mara terjejas selepas kekalahan dramatik pada lewat aksi menentang Iran minggu lalu.



Anak buah Rob Page mesti menang dan berharap aksi antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) berakhir seri, atau mengalahkan England dengan perbezaan empat gol – sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan.

“Mereka satu pasukan yang mempunyai beberapa pemain bagus jadi kami jangkakan mereka akan beraksi bagus dan kami bersedia dengan cara sama seperti bertemu lawan sebelum ini,” kata Southgate, yang mempunyai skuad cergas untuk dipilih kecuali Ben White.

“Mereka mempunyai beberapa pemain bertaraf dunia yang boleh mencetus detik penentu bersama kelab dan negara, mereka mempunyai semangat yang bagus dan gerakan tersusun dan kami sedar kualiti pasukan Ukraine yang dikalahkan mereka untuk layak ke sini.

“Kami sedar mereka mempunyai motivasi tambahan untuk menentang England, daripada apa yang mereka katakan. Kami perlu bersedia menangani semua itu tetapi kami mesti fokus untuk bermain baik kerana ia menjadi kunci utama.”



Empat tahun lalu di Russia, England memenangi dua aksi pertama peringkat kumpulan dan kemudian Southgate melakukan lapan perubahan bagi pertemuan dengan Belgium sebelum berakhir di tangga kedua.

Southgate tidak akan melakukannya sekali lagi kerana menurutnya muncul sebagai juara kumpulan menjadi keutamaan, sekalipun beliau teragak-agak apabila ditanya sama ada kapten Harry Kane, yang gagal menyumbat gol dalam dua aksi pertama England, mungkin direhatkan.

“Kami memilih pasukan yang dipercayai boleh memenangi perlawanan, itulah yang sering menjadi keutamaan,” kata Southgate. “Dia sudah pulih, orang asyik berkata ia pergelangan kaki tetapi sebenarnya kaki dan saya tidak tahu kenapa.

“Dia berlatih dengan baik dan semua pemain kami boleh dipilih yang menyebabkan sukar untuk membuat pilihan tetapi anda mahukan skuad yang cergas sepenuhnya.”



England memulakan kejohanan itu penuh bergaya, membenam Iran 6-2 tetapi kemudiannya seri 0-0 dengan AS ketika tahap persembahan mereka merosot.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker