Fernandes bawa Portugal ke pusingan 16 terbaik

DOHA: Bruno Fernandes meledak dua gol untuk membantu Portugal meraih kemenangan 2-0 ke atas Uruguay, sekali gus membolehkan mereka mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia bersama Perancis dan Brazil.

Pemain tengah Manchester United itu membuka tirai jaringan pada minit ke-54 sebelum menambah jaringan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Perlawanan di Stadium Lusail berkapasiti 89,000 itu turut menyaksikan penceroboh pertama memasuki padang pada kejohanan kali ini – seorang lelaki yang membawa mesej menyokong wanita Ukraine dan Iran serta membawa bendera pelangi.

“Ia satu kemenangan yang wajar,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

“Bahagian pertama sudah selesai, kami begitu tergesa-gesa. Sekarang saya akan meneruskan usaha untuk lebih meningkat.

“Pasukan berhak untuk perkara ini, mereka sangat padu dan kuat bukan saja dalam kualiti permainan, tetapi juga hubungan akrab antara mereka.”

Dengan Portugal sudah pun mara, kini tinggal Uruguay untuk menewaskan Ghana dalam aksi terakhir Kumpulan H untuk menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.

Kedua-dua pasukan melakukan tiga pertukaran daripada skuad asal ketika perlawanan pembukaan sebelum ini, yang turut menyaksikan Portugal membawa masuk pemain veteran Pepe untuk menggantikan Danilo Pereira yang tercedera ketika latihan.

Pepe menjadi pemain ketiga tertua beraksi dalam sejarah Piala Dunia dan ia adalah 90 minit penuh disertainya selepas lebih sebulan setengah.

“Saya berusaha gigih untuk kelab saya (Porto) yang memberikan saya kemungkinan untuk menjadi 100 peratus untuk pasukan kebangsaan,” kata Pepe.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker