Gol tunggal Casemiro legakan Brazil

DOHA: Pasukan Brazil tampak kurang menyerlah tanpa kehadiran Neymar yang masih dalam proses pemulihan, menjaringkan gol lewat perlawanan menerusi Casemiro untuk menewaskan Switzerland 1-0, sekali gus memastikan juara dunia lima kali itu menjamin tempat di pusingan 16 terbaik dengan masih berbaki satu perlawanan di tangan.

Skuad itu tampak pada mulanya mengalami kekecewaan di Stadium 974 apabila menyaksikan Vinicius Junior meledak jaringan di babak kedua, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid selepas pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) dilakukan.

Namun, ketika berbaki tujuh minit permainan, Casemiro memecah kebuntuan jaringan untuk meletakkan Brazil di puncak kumpulan dengan enam mata.



Anak buah Tite menjadi pasukan kedua yang layak ke pusingan 16 terbaik selepas Perancis dan satu-satunya pasukan selain daripada penyandang juara itu yang meraih kemenangan dalam kedua-dua perlawanan di Qatar setakat ini.

“Yang pertama sasarannya adalah memburu kelayakan. Itu adalah sesuatu yang sangat penting dalam kumpulan yang sesukar kami sertai ini,” kata Casemiro, 30.

“Kami perlu bersabar ketika menentang sebuah pasukan berpengalaman, yang tahu cara untuk bermain dalam rentak perlawanan. Ia sentiasa akan ditentukan dengan hanya perbezaan kecil, tetapi kami tahu yang kami mempunyai banyak ruang dan syukur kami memperoleh jaringan.”

Dengan enam mata, Brazil dilihat bakal merehatkan sesetengah pemainnya untuk perlawanan terakhir Kumpulan G menentang Cameroon pada Jumaat ini dengan keputusan seri sudah menjadi tempat buat mereka ke pusingan seterusnya.



Switzerland dalam pada itu, gagal melakukan penyudah tepat ke gawang gol namun masih berada di landasan untuk layak.

Dengan keputusan 3-3 antara Serbia dan Cameroon semalam, ia bermakna kemenangan menentang Serbia bakal melayakkan mereka dan satu keputusan seri juga sudah cukup memadai.

Brazil yang diberi julukan Selecao tentunya mengharapkan penampilan Neymar dan Tite berkata, dia yakin bintang Paris Saint-Germain itu akan pulih daripada kecederaan buku lali untuk memainkan peranan pada perlawanan final.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button