Harga bintang remaja melonjak pada Piala Dunia

DOHA: Pedri baru berusia 20 tahun. Jamal Musiala dan Jude Bellingham menunggu beberapa bulan lagi untuk mencecah angka itu. Pemain remaja yang dijangka memecahkan rekod perpindahan tampil pada Piala Dunia Qatar 2022 dan mempamerkan kualiti dimiliki mereka.

Ada beberapa bintang lain yang turut menyinar, malah pemain veteran yang sedia untuk mengundur diri dengan penuh bergaya pada Piala Dunia terakhir mereka, namun nilai tiga pemain itu melonjak dengan ketara.

Semua tiga pemain itu kini dinilai melebihi 100 jura euro (RM467 juta) dan harga mereka terus meningkat. Mereka hadir pada Piala Dunia bersama pasukan yang menjadi calon awal untuk menjuarai kejohanan itu.

England, Jerman dan Sepanyol antara negara pilihan untuk menokok satu lagi bintang di jersi mereka namun di depan mereka, pasukan seperti Brazil, Argentina atau Perancis bermula sebagai pilihan utama.



Pedri adalah permata pasukan kendalian Luis Enrique, Musiala mencetus sesuatu yang berbeza buat Jerman dan Bellingham menyaksikan separuh daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) terpikat dengannya.

Mendapatkan khidmat mereka daripada kelab mereka tidak semudah disangka terutama kerana Pedri dan Musiala berada di kelab yang tidak suka menjual pemain, masing-masing di Barcelona dan Bayern Munich.

Bagaimanapun ia berbeza bagi Bellingham, yang beraksi di Borussia Dortmund, kelab yang tidak pernah serik untuk melepaskan pemain terbaik mereka.

Persaingan sengit untuk membeli pemain England itu sudah bermula sejak beberapa bulan lalu dan ia dijangka lebih bersemarak sebaik pemain Inggeris itu menamatkan aksinya pada Piala Dunia di Qatar.



Mungkin tiga pemain itu paling menyinar antara pemain remaja yang hadir di negara Teluk itu tetapi ada beberapa pemain lain yang turut dijangka memberi impak besar dalam pasaran perpindahan dalam beberapa jendela akan datang.

Pemain Croatia, Josko Gvardiol salah seorang daripadanya. Pertahanan tengah RB Leipzig berusia 20 tahun itu dijangka memecahkan rekod perpindahan bagi pemain pertahanan yang dipegang Matthijs de Ligt pada awal musim panas lalu.

Gol Enzo Fernandez menentang Mexico hanya satu permulaan. Pada usia 21 tahun, pemain tengah Benfica dan Argentina itu mempunyai kualiti dan mungkin menjadi sasaran perpindahan besar dari Primeira Liga ke EPL.

Seorang lagi yang mungkin berada pada tahap lain tetapi turut mempamerkan kualiti adalah pemain Valencia, Yunus Musah.

Dia menyerlah bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat dan harganya semakin meningkat. Minggu ini dia berusia 20 tahun dan Valencia sedia menjualnya tetapi mahukan tawaran yang berbaloi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker