Kemajuan projek ECRL Terengganu lebih 40 peratus siap

KUALA TERENGGANU: Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu sudah mencapai kemajuan sebanyak 43.96 peratus setakat bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi negeri, Dr Mamad Puteh berkata perkembangan projek itu sudah mengatasi kemajuan keseluruhan projek ECRL iaitu 35.9 peratus.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau berkata, pihaknya yakin projek berkenaan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan pada 2026.

“Status kemajuan bagi daerah Dungun membabitkan kerja fizikal sudah siap dibina merangkumi 20 kilometer kerja-kerja tanah dan pembinaan dua terowong iaitu sepanjang 851 meter di Bukit Bauk dan 1,110 meter di Paka.

“Oleh itu, kerja-kerja pembinaan stesen kereta api di Dungun dijangka dapat dimulakan tahun depan, sekarang ini di peringkat kerja reka bentuk,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mamad menjawab pertanyaan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) mengenai status kemajuan pembangunan ECRL di Terengganu khususnya di Dungun.

Menjawab pertanyaan tambahan Alias mengenai perbandingan kemajuan projek ECRL di negeri lain, Mamad berkata Terengganu sudah mencapai perkembangan paling tinggi berbanding Pahang iaitu sebanyak 33.2 peratus, Kelantan 41.6 peratus dan Selangor 2.13 peratus.

“Kemajuan ini adalah hasil kerjasama baik oleh jabatan-jabatan terlibat dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL). Kita tahu mereka selalu mengadakan mesyuarat bagi memastikan kerja-kerja berjalan lancar,” katanya.

Enam stesen ECRL di Terengganu membabitkan dua stesen penumpang dan kargo di Dungun dan Chukai serta empat stesen penumpang di Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasek.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan jajaran di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dibina dengan reka bentuk bebas daripada bencana banjir.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker