Kemenangan kontroversi 12 tahun lalu bayangi aksi Uruguay-Ghana

DOHA: Jurulatih Uruguay, Diego Alonso menegaskan pasukan kendaliannya enggan dibayangi kemenangan kontroversi yang dilakar pada suku akhir Piala Dunia 2010 ke atas Ghana menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Qatar, Jumaat ini.

Di Afrika Selatan 12 tahun alu, Uruguay mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan Ghana menerusi penentuan penalti.

Penyerang Uruguay, Luis Suarez menggunakan tangannya untuk menghalang usaha Ghana menjaringkan gol pada minit akhir dengan Asamoah Gyan kemudiannya gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh.

Di sebalik ketiadaan Suarez, Uruguay masih mampu melangkah ke kelompok empat terbaik apabila memenangi penentuan penalti.

Kedua-dua pasukan kini tampil dengan misi untuk mengiringi Portugal melangkah ke pusingan 16 terbaik daripada Kumpulan H dengan Korea Selatan turut berpeluang mara ke pusingan kalah mati.

“Ia akan menjadi cerita yang berbeza untuk kedua-dua pasukan,” kata Alonso selepas menyaksikan anak buahnya tewas 0-2 di tangan Portugal, awal pagi tadi.

“Kedua-dua pasukan memburu tempat ke pusingan kalah mati. Perlawanan pada Jumaat ini cukup penting tetapi ia akan menjadi cerita yang berbeza dengan apa yang berlaku 12 tahun lalu.”

Ghana berada di depan untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Korea 3-2, malam tadi.

Bagaimanapun, mereka masih perlu menang untuk menjamin tempat ke pusingan kalah mati manakala Uruguay dan Korea yang dijadual menentang Portugal wajib menang untuk kekal bersaing di Piala Dunia.

Untuk mara, Alonso mengakui pasukannya perlu bermain lebih baik daripada yang mereka lakukan setakat ini, seri 0-0 dengan Korea dan tewas kepada Portugal.

“Pasukan perlu kekal tenang dan motivasi diri sendiri untuk bermain, seperti yang kami lakukan pada separuh masa kedua hari ini,” kata Alonso.

“Kami perlu mengambil risiko dan menjadi pasukan yang lebih berani.”

Sementara itu, jurulatih Ghana, Otto Addo tidak mahu barisan pemainnya mengambil pendekatan balas dendam apabila bertemu Uruguay.

“Saya seorang yang beriman, jika anda tidak fikir mengenai balas dendam dalam perkara seperti ini, anda akan lebih diberkati,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker