Melecur tangan padam kebakaran rumah
Selayang: Seorang wanita warga emas melecur di kedua-dua tangan dalam usahanya memadamkan kebakaran rumahnya di Jalan SM9, Sunway Batu Caves, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 pagi.
“Seramai 16 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan BBP Gombak dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati bilik di tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, wanita terbabit, Fazilah Aini Md Yusof, 61, melecur di kedua-dua tangan semasa berusaha memadamkan kebakaran itu.
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Anak perempuan mangsa, Hanis Syahira Mohd Abdul Halim berusia lingkungan 20-an hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk memadam kebakaran itu yang puncanya masih dalam siasatan.
METRO