Pelabur asing terus jadi penjual saham tempatan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menjadi penjual bersih pada minggu lalu dengan aliran keluar bersih sebanyak RM81.9 juta berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM59.9 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Katanya, jualan bersih bermula pada Isnin yang menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu berkenaan sebanyak RM167.69 juta dan trend itu berterusan dengan aliran keluar bersih sebanyak RM155.95 juta pada Selasa, RM56.57 juta pada Rabu dan RM42.49 juta pada Jumaat.

“Trend aliran keluar bersih itu mungkin disebabkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Parlimen tergantung buat kali pertama dalam sejarah.

“Tiada gabungan yang mendapat 112 kerusi yang diperlukan untuk mencapai majoriti mudah. Bagaimanapun, ini telah dapat diselesaikan pada Khamis,” menurut firma penyelidikan itu dalam satu nota, hari ini.

Susulan daripada penyelesaian kepada kebuntuan politik itu, warga asing menukar pendirian mereka kepada mencatatkan belian bersih sebanyak RM340.8 juta, satu-satunya aliran masuk bersih pada minggu itu.

Bagaimanapun, ini tidak mencukupi untuk mengatasi jualan bersih yang dilaksanakan pada tiga hari sebelumnya berikutan Jumaat menyaksikan jualan bersih yang meningkat, menurut MIDF Research.

Sementara itu, institusi tempatan juga penjual bersih pada minggu lalu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM4.2 juta, dengan sebahagian besarnya dicatatkan pada Khamis sebanyak RM158.69 juta dan Isnin sebanyak RM21.65 juta.

“Pada hari-hari lain, institusi tempatan adalah pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM64.96 juta, RM46.87 juta dan RM64.31 juta nilai ekuiti pada Selasa, Rabu dan Khamis,” katanya.

MIDF Research berkata, peruncit tempatan terus menjadi pembeli bersih pada minggu lalu dengan jumlah aliran masuk bersih mingguan sebanyak RM85.91 juta berikutan mereka memulakan minggu berkenaan dengan belian bersih bernilai RM189.35 juta.

“Mereka kemudian menjadi penjual bersih pada Khamis dan Jumaat dengan aliran keluar bersih, masing-masing sebanyak RM182.12 juta dan RM22.02 juta,” katanya.

Setakat ini, MIDF Research berkata dana antarabangsa, menjadi pembeli bersih dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.83 bilion manakala institusi tempatan adalah penjual bersih sebanyak RM8.99 bilion dan peruncit tempatan adalah pembeli bersih sebanyak RM2.17 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dari segi purata nilai dagangan harian untuk pelabur runcit (67.37 peratus), pelabur institusi (62.23 peratus) dan pelabur asing (32.94 peratus).

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker