Pemandu lori direman empat hari

Melaka: Pemandu lori yang dipercayai terbabit nahas lima kenderaan hingga mengorbankan seorang kontraktor di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) kelmarin, direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei selepas dipohon polis bagi melengkapkan siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap tiba di mahkamah pada jam 9.15 pagi diiringi polis, sebelum proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian.



Dalam kejadian pada 9.30 pagi semalam, Khaidzir Zainuddin, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 179.3, Plus (arah selatan).

Anaknya, Muhammad Ashraf, 22, yang patah tulang rusuk masih dirawat di Hospital Tangkak, Johor.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan dilapor berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian dua beranak itu yang menaiki kereta Mercedes Benz dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor.

Bagaimanapun tayar kereta itu tiba-tiba pancit dan mangsa berhenti di tepi jalan sebelah kiri untuk menukar tayar.



Sebuah lori tunda turut berhenti bagi membantu mangsa dan dua lagi kenderaan peronda Plus berhenti di hadapan kereta Mercedes Benz berkenaan.

Ketika berkemas selepas selesai menukar tayar, tiba-tiba datang lori Nissan Hicom dari arah belakang melanggar lori tunda berkenaan, menyebabkan ia terlajak dan melanggar dua beranak itu yang sedang berada di bonet kereta mereka.

Kemalangan itu menyebabkan, dua beranak itu tercampak ke tepi lebuh raya, manakala pemandu lori tunda terbabit cedera di bahagian muka selepas dikatakan terperosok di bawah lori berkenaan.

METRO



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button