Perancis pertaruh barisan kedua hadapi Tunisia



DOHA: Perancis mahu mencari keseimbangan antara merehatkan pemain dan mengekalkan momentum Piala Dunia apabila mereka berdepan Tunisia pada perlawanan terakhir Kumpulan D malam esok.

Juara bertahan itu layak ke pusingan kalah mati dengan berbaki satu perlawanan selepas menang 4-1 ke atas Australia dan 2-1 mengatasi Denmark, jadi mereka hanya perlukan seri dengan Tunisia untuk muncul juara kumpulan.

Sekiranya mereka berakhir di tangga pertama, mereka akan berdepan naib juara Kumpulan C yang menampilkan Argentina, Arab Saudi, Poland dan Mexico.

Jurulatih Didier Deschamps dijangka merehatkan sesetengah pemain utamanya dan memberikan pemain lain minit permainan di Stadium Education City.



Kylian Mbappe dijangka bermula di bangku simpanan namun penyerang terbilang itu memburu rekod di Qatar dan Deschamps mungkin memberikannya masa bermain untuk membantunya menokok tujuh gol Piala Dunia – tiga daripadanya dijaringkan di negara Teluk itu.

Steve Mandanda pasti bermula sebagai penjaga gol dan Deschamps juga mungkin memberikan Jules Kounde masa untuk menyesuaikan diri di pertahanan kanan selepas dia menggantikan Benjamin Pavard yang mengecewakan bagi aksi menentang Denmark.

Keputusan terbesar Deschamps adalah sama ada Raphael Varane bermain atau tidak. Pertahanan tengah itu pulih daripada kecederaan pangkal paha bagi perlawanan kedua dan digantikan pada babak kedua.

“Saya belum bercakap dengan jurulatih mengenainya. Kami akan memikirkan apa yang bagus buat pasukan terlebih dahulu, kemudian kami akan lihat apa yang terbaik buat saya,” kata Varane kepada wartawan.



“Perkara terbaik adalah mendapat peluang bermain sekalipun beberapa ketika tetapi kami akan berbincang dengan jurulatih mengenainya.”

Pemain tengah Aurelien Tchouameni dan Adrien Rabiot kemungkinan besar direhatkan memandangkan peranan mereka paling menuntut kekuatan fizikal dalam sistem permainan Perancis.

Ketika Lucas Hernandez diketepikan bagi kejohanan itu kerana kecederaan serius, adiknya Theo hanya satu-satunya pemain pertahanan kiri sejati dalam skuad itu.

Deschamps bagaimanapun mungkin memberi peluang kepada Eduardo Camavinga untuk beraksi di pertahanan kiri selepas pemain tengah Real Madrid itu diturunkan di posisi itu dalam beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan.



Di bahagian serangan, Olivier Giroud mungkin bermula dalam kesebelasan utama sekali lagi selepas membuktikan dia mampu beraksi baik dalam tempoh selang empat hari.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker