Bale sedia berkhidmat selagi diperlukan Wales

AL RAYYAN, Qatar: Kapten Wales, Gareth Bale berazam untuk terus bermain dalam skuad kebangsaan walaupun timbul keraguan mengenai masa depannnya selepas mereka tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala Dunia berikutan kalah 3-0 di tangan England awal pagi tadi dalam aksi dipanggil “Battle of Britain.”

Kembali ke Piala Dunia selepas 64 tahun, Wales menamatkan kejohanan dengan satu mata, terbawah Kumpulan B selepas seri 1-1 berdepan Amerika Syarikat dalam aksi pembukaan dan tewas 2-0 kepada Iran pada perlawanan kedua.

Bale gagal mendapatkan yang terbaik di bahagian serangan pada babak pertama menentang England sebelum jurulatih Rob Page mengeluarkannya selepas rehat berikutan kecederaan hamstring.

“Saya akan teruskan selagi mampu dan selagi saya diperlukan,” kata Bale yang juga pemain Wales dengan kaps terbanyak kepada BBC.

“Ia saat yang sukar ketika ini, tetapi jelas kami akan mula sekali lagi.

“Kami ada kempen kelayakan (Kejohanan Eropah) pada Mac dan kami ada beberapa bulan untuk tidak beraksi dalam bola sepak antarabangsa yang jelas ia mengecewakan, kami mahu kekal lebih lama.”

Page berkata Bale memberikan persembahan “menakjubkan” sebelum rehat.

“Bale bagus dan dia mahukan yang terbaik buat pasukan,” kata Page kepada wartawan. “Dia tahu jika dia mahu kembali ke padang dia mesti cergas sekitar 70 peratus. Apabila anda menentang pasukan seperti England, anda tidak boleh membawa sebarangan orang.

“Dia memberikan persembahan besar … saya tidak rasa ia akan menjadi yang terakhir anda saksikan dia bersama jersi Wales.”

Walaupun tewas di Stadium Ahmad bin Ali, Page bangga dengan pasukannya yang mara ke Piala Dunia selepas playoff mengatasi Austria dan Ukraine.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker