England belum tunjuk taring sebenar

AL-RAYYAN: Marcus Rashford percaya taring sebenar England masih belum ditunjukkan di Piala Dunia meskipun mara ke pusingan 16 terbaik selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Wales.

Rashford meledak dua gol untuk menyertai senarai empat pemain yang meledak tiga gol dalam pemburuan Kasut Emas.

Phil Foden juga berjaya meledak jaringan pada perlawanan itu, sekali gus bakal menyaksikan Three Lions bertemu Senegal dalam pertembungan 16 terbaik, Ahad ini.

“Inilah sebab saya bermain bola sepak, detik paling besar dan terbaik,” kata Rashford yang mengalami prestasi tidak menentu di kelab dan juga kebangsaan musim ini.



“Saya sangat gembira hari ini kerana kami melangkah ke pusingan seterusnya. Saya mempunyai impian yang besar untuk pasukan ini dan memikirkan kami boleh bermain dengan lebih baik berbanding apa yang dipamerkan hari ini,” katanya.

England adalah pasukan yang melakukan jaringan terbanyak pada kejohanan kali ini dengan sembilan gol meskipun terikat seri tanpa jaringan dalam perlawanan kedua kumpulan.

Rashford adalah salah satu daripada empat perubahan pemain dilakukan Gareth Southgate daripada perlawanan terdahulu dan dia berkata, skuad kendaliannya itu mahu menebus kekecewaan daripada prestasi sebelum ini.

“Kami sedikit kecewa sebagai satu pasukan selepas perlawanan terakhir menentang Amerika Syarikat (AS). Saya fikir, kami boleh bermain dengan lebih baik dan satu-satunya langkah untuk bangkit adalah mempamerkan prestasi yang baik pada perlawanan seterusnya dan itulah yang kami lakukan,” kata Rashford.



“Pada babak pertama, kami bertahan dengan sangat baik, tidak memberikan mereka sebarang peluang dan ia hanya mengenai kami untuk menguasai permainan dan mengambil peluang yang terhidang dengan baik.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker