HPP perlukan bekalan darah

Georgetown: Hospital Pulau Pinang (HPP) menyeru orang ramai menderma darah bagi mengisi bekalan darah yang berada pada paras rendah ketika ini.

Pegawai Penerangan Jabatan Perubatan Transfusi HPP Lina Diyana Ibrahim berkata, bekalan darah yang berkurangan ketika ini ialah B positif, O positif dan O negatif.

Katanya, keperluan bekalan darah berkenaan juga disebabkan permintaan yang tinggi bagi merawat pesakit di hospital berkenaan.

“Pusat Tabung Darah HPP pada masa ini menghadapi kekurangan darah jenis B positif, O positif dan O negatif namun kami mengalu-alukan orang ramai menderma darah supaya bekalannya berterusan.



“Bekalan darah berkurangan sejak awal November lalu dan diharap ia dapat di atasi segera bagi memenuhi keperluan pesakit pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Lina Diyana berkata, selain tampil ke Pusat Tabung Darah yang dibuka setiap hari, orang ramai juga boleh datang ke beberapa lokasi kempen bagi menderma darah.

Katanya, satu kempen derma darah akan diadakan di Lotus Egate, Georgetown mulai jam 10 pagi hingga 3.30 petang, esok.

Turut diadakan di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Balik Pulau pada 3 Disember (10 pagi hingga 4 petang) dan Wisma Hui Yen Seil Paya Terubong pada 4 Disember jam 9 pagi hingga 1 petang.



“Bekas pesakit Covid-19 boleh menderma darah selepas 10 hari bebas daripada gejala dan memastikan diri benar-benar sihat.

“Penderma yang sudah menderma darah sebelum ini boleh melakukannya semula selepas tempoh tiga bulan daripada tarikh akhir menderma,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker