Kamada ‘pening’ prestasi sendiri

DOHA: Daichi Kamada dijangka akan menjadi bintang utama Jepun pada Piala Dunia namun penyerang itu setakat ini tenggelam ketika pasukannya akan berdepan ujian besar menentang Sepanyol, esok.

Kamada mendatangkan impak besar selepas menyertai kelab Jerman, Eintracht Frankfurt apabila menang Liga Europa musim lalu dan menjaringkan 12 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu tampak sukar menemui kejayaan pada Piala Dunia walaupun bermain ketika Jepun mencipta kejutan 2-1 menentang Jerman pada aksi pembukaan.



Kamada berkata persembahannya pada babak pertama perlawanan itu adalah “teruk” dan ia sesuatu yang dia “akan sesali sepanjang hidup” jika Jepun tidak berjaya bangkit untuk mencipta kemenangan.

Dia semakin hilang arah pada penampilan kedua pasukannya, kekalahan 1-0 kepada Costa Rica yang mengancam peluang skuad Samurai Biru untuk ke kelompok 16 terakhir.

Kemenangan mengatasi Sepanyol dalam pertemuan terakhir Kumpulan E akan memastikan kemaraan mereka dan Kamada berazam untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya.

“Saya tidak faham dengan cara saya bermain dalam dua perlawanan terakhir ini,” katanya semalam.



“Saya tahu saya boleh bermain lebih baik daripada apa yang pernah disaksikan – saya boleh lakukannya. Ada satu lagi perlawanan dan saya mahu beraksi lebih bagus.”

Kamada berkata dia memerah otak untuk mencari sebab penurunan prestasinya tetapi sehingga kini dia masih tiada jawapan.

“Saya melakukan terlalu banyak kesilapan, saya seperti tidak percaya,” katanya mengenai persembahan ketika menentang Costa Rica.

“Ia tiada kena mengena dengan suasana di stadium, saya berada dalam keadaan yang teruk atau membawa sebarang kecederaan. Saya bermain di tahap tertinggi musim ini dan ia bukan masalah.



“Saya sendiri memikirkannya dan secara jujur, saya tidak tahu kenapa.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button