Lelaki beli 243kg ketum dari Pendang, cuba jual di Temerloh

KUALA LUMPUR: Polis merampas 243 kilogram (kg) daun ketum selepas menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki di Kilometer 63 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah barat, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata rampasan itu susulan pemeriksaan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) ke atas sebuah PROTON Perdana, kira-kira jam 3 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta dipandu lelaki berusia 44 tahun itu, kita menemukan 243 bungkusan plastik dipercayai daun ketum dianggar bernilai RM5,751.

“Siasatan awal mendapati daun ketum itu dibeli suspek di Pendang, Kedah untuk dijual kepada pembeli yang membuat pesanan di Temerloh, Pahang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek membeli daun ketum dengan harga RM10 sebungkus dengan berat satu kilogram setiap satu, sebelum menjual semula kepada pelanggan dengan harga RM17.

“Siasatan awal juga mendapati suspek pernah beberapa kali melakukan penghantaran ke kawasan Pantai Timur sebelum ini.

“Suspek kini direman empat hari sehingga 2 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker