Pemandu Myvi tunjuk isyarat lucah diburu

Petaling Jaya: Polis sedang mengesan pemandu Perodua Myvi yang tular di media sosial selepas didapati memandu secara berbahaya di Jalan PJS8, di sini, semalam.

Dalam satu rakaman video berdurasi satu minit berkenaan menunjukkan pemandu lelaki terbabit memberhentikan kereta di tengah jalan sebelum menunjukkan isyarat lucah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video memaparkan kereta terbabit dipandu secara bahaya apabila diberhentikan di tengah jalan pada 8.30 malam.

“Berdasarkan semakan rakaman kamera papan pemuka mendapati kejadian itu berlaku pada 5.05 petang semalam.

“Hasil pemerhatian mendapati insiden itu tidak membabitkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memohon individu yang merakam kejadian itu tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan.

“Semua pengguna jalan raya diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak berlaku kemalangan.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan, memuat naik atau berkongsi video serta gambar yang boleh menimbulkan keresahan dan kegusaran masyarakat,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker