Pengorbanan Pulisic disanjung pasukan

DOHA: Christian Pulisic mendapat sanjungan daripada rakan sepasukannya selepas jaringan tunggalnya membantu Amerika Syarikat (AS) layak ke pusingan 16 terbaik sekalipun percubaan itu membuatkan dia terlantar ke hospital susulan kecederaan abdomen.

Penyerang Chelsea itu menyambar bola pada minit ke-38 ketika menentang Iran namun dia tidak berkesempatan meraikan jaringan itu selepas bertembung dengan penjaga gol lawan, Alireza Beiranvand.

Pengendali AS, Gregg Berhalter mengesahkan Pulisic mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital selepas pemain itu merasa pening.



“Kami dapat bercakap dengannya dan dia berada dalam keadaan penuh bersemangat.

“Itulah apa yang dia lakukan, itu kualiti istimewa yang ada padanya dan sebaik ada peluang di depan gol, dia terus meluru dengan penuh intensiti.

“Dia menyukarkan pertahanan lawan dengan perubahan kelajuan yang dimilikinya.”

Pemain tengah AS, Weston McKinnie turut memuji usaha Pulisic namun menegaskan mereka semua sudah seperti adik beradik dan akan turut melakukan perkara sama seperti dilakukan Pulisic itu.



“Kami bersyukur kerana dia berkorban untuk pasukan demi mendapatkan gol itu tetapi saya percaya kami ada 25 pemain lain yang sanggup melakukan perkara sama.

“Anda lihat kualiti Christian dan kesanggupannya untuk berkorban demi gol. Itu sudah cukup membuktikan betapa akrabnya pasukan ini.”

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button