Tak mahu lagi dengar penuntut tak dapat makan, kelaparan

Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Pusat Hubungan Alumni dan Kemajuan Institusi (CARIA) Universiti Malaya (UM) melancarkan Jihad Pendidikan di Kompleks Perdana Siswa UM, di sini, hari ini.

Kerjasama itu bertujuan memastikan keperluan pelajar asnaf dan B40 di UM mencukupi sekali gus pelajar dapat menimba ilmu sebaiknya selain meningkatkan kesedaran menunaikan zakat dalam kalangan pendidik melalui potongan gaji.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ia adalah inisiatif dalam mewujudkan kitaran zakat antara pembayar zakat dan penerimanya.



“Dengan bayaran zakat kepada PPZ-MAIWP ini akan diberikan terus kepada pihak MAIWP untuk disalurkan kepada asnaf layak termasuklah untuk bantuan pendidikan yang akan diterima oleh pelajar asnaf.

“Pada masa terdekat, program Jihad Pendidikan ini akan diperluaskan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak dan Universiti Antarabangsa Kuala Lumpur (UIAM). Tagline kita adalah Sifar Kebuluran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Jihad Pendidikan di Dewan Perdana 1, Kompleks Perdana Siswa UM yang dilancarkan bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof Dr Sabri Musa.

Sementara itu, Sabri berkata, pasca perubahan pembelajaran atas talian kepada fizikal meletakkan beban yang lebih berat kepada sesetengah pelajar universiti kerana berlakunya pertambahan tanggungan.



“Disebabkan itu, terdapat juga pelajar UM yang memerlukan sumber kewangan sokongan (daripada sumbangan zakat dan sebagainya) untuk meneruskan pengajian mereka di kampus dengan kos sara hidup kian meningkat.

“Kita juga menumpukan pelajar yang tinggal di luar kampus. Di UM kira-kira 40 peratus pelajar tinggal di luar kampus. Kita tidak mahu lagi mendengar pelajar tak dapat makan, kelaparan,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan setiap sesi di UM adalah kira-kira 18,000 dan sekitar 60 peratus pelajar di UM adalah datang daripada golongan B40.

Menurutnya, kedudukan UM yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur menambahkan lagi kos sara hidup dan justeru bantuan pelbagai pihak termasuk PPZ-MAIWP amatlah dialu-alukan.



Sementara itu, pada majlis sama, PPZ-MAIWP melalui dana pemegang wakalah (skim pengembalian wang zakat) dan individu turut menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM200 kepada 250 pelajar asnaf dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

Selain itu turut disumbangkan pek makanan kepada 100 pelajar asnaf UM, sumbangan kewangan dan barangan kepada UMalaya Radio serta Foodbank UM dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM85,000.

Sempena program Jihad Pendidikan itu juga, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Zakat Talk, Bual Santai @ UMalaya Radio bersama Abdul Aziz dan Zakat@Personaliti bersama Perunding Imej Professional, Muna Izzah Fadzli.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button