Tubuh RCI siasat perbelanjaan RM600b ketika pentadbiran Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Sany Hamzan, berkata ini bagi menyiasat tujuan perbelanjaan yang digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.

“Jumlah itu sangat besar. Jadi, kita gesa RCI ditubuhkan untuk menyiasat ke mana wang itu dibelanjakan semasa pemerintahan Muhyiddin.

“Itu wang rakyat, kita perlu tahu ke mana wang yang tiada audit itu, kita gesa polis siasat perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.



Terdahulu, empat laporan polis dibuat Biro Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), kira-kira jam 11 pagi.

Antara laporan polis dibuat berkaitan hantaran Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Wang di Facebook miliknya, yang didakwa menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakaman audio mirip suara Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan bertahan lama.

Selain itu, dua lagi laporan dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad, yang mendakwa pelantikan Anwar bertujuan mengelakkan tindakan daripada Israel, selain calon Perikatan Nasional (PN) bagi Padang Serai, Datuk Azman Nasarudin, yang mendakwa kerajaan dibentuk ketika ini, kerajaan zina.

Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, pihaknya juga akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan hal berkenaan dalam masa terdekat ini.



Semalam, polis membuka siasatan terhadap Hassan selepas menerima laporan polis yang mendakwa Anwar adalah ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin, dilaporkan berkata, kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan, dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya.

Hassan turut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun Facebook miliknya.

Sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya,

Beliau juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker