Baguette disenaraikan sebagai warisan dunia UNESCO
PARIS: Baguette yang juga roti ruji Perancis disenaraikan sebagai warisan dunia UNESCO.
Badan warisan dan budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Paris, mengundi untuk memasukkan ‘pengetahuan artisan dan budaya roti Baguette’ dalam senarai Warisan Budaya Tak Ketara, seiring hampir 600 tradisi daripada lebih 130 negara.
Ketua UNESCO, Audrey Azoulay, menyifatkannya ‘meraikan gaya hidup Perancis: Baguette adalah ritual harian, elemen penstrukturan hidangan, sinonim dengan perkongsian dan kemesraan.
“Sangat penting, kemahiran dan tabiat sosial ini terus wujud pada masa hadapan,” katanya.
Baguette, roti gebu dan memanjang dengan kerak yang rangup adalah simbol Perancis di seluruh dunia dan menjadi makanan utamanya sekurang-kurangnya sejak 100 tahun lalu, walaupun ada yang mendakwa ia sudah wujud lebih lama.
Menurut sejarah, pembuat roti kepada pemimpin tentera Perancis, Napoleon Bonaparte menghasilkan bentuk memanjang agar ia mudah dibawa tentera, manakala yang lain berpendapat sebenarnya tukang roti Austria bernama August Zang yang mencipta Baguette.
Berdasarkan anggaran Fiducial 2019, Perancis masih menghasilkan kira-kira 16 juta roti itu setiap hari, iaitu hampir 6 bilion Baguette setahun, biarpun kadar pengambilan berkurangan sejak beberapa dekad lalu.
Konfederasi Bakers Perancis yang berjuang melindungi pasarannya daripada kedai roti industri, menjelaskan Baguette dihasilkan melalui adunan tepung, air, garam dan yis, dohnya perlu direhatkan antara 15 hingga 20 jam pada suhu antara empat hingga enam darjah Celcius.
Biarpun bahannya sama, namun setiap kedai roti mempunyai gaya tersendiri, selain ada pertandingan di seluruh negara untuk mencari Baguette terbaik di Perancis, setiap tahun.
REUTERS