Haikal perlukan RM6,600 untuk beli alat bantu dengar

Kuantan: Wan Muhammad Imamuddin Haikal Wan Abd Raha, 17, dari Taman Balok Permai di sini, memerlukan dana RM6,600 untuk menampung kos pembelian alat bantuan pendengaran yang baharu.

Ibunya, Norzita Jusoh, 44, berkata, ia bagi menggantikan alat bantu dengar lama yang sudah rosak sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, Wan Muhammad Imamuddin Haikal sepatutnya menggunakan alat bantu dengar yang baharu bermula Mei lalu tetapi terhalang kerana keluarga tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.

“Walaupun alat itu penting untuk Haikal dalam membantu pendengarannya, saya dan suami tidak mampu untuk membeli.

“Saya kasihankan Haikal kerana dia menghadapi masalah pendengaran tahap kritikal kerana kedua-dua belah telinganya tidak boleh mendengar. Kalau hendak bercakap, kami terpaksa menjerit.

“Agak buntu juga untuk mencari wang bagi membeli alat yang doktor sarankan kerana kosnya tinggi,” ditemui di rumahnya hari ini.

Suami Norzita, Wan Abd Raha Wan Abd Rahman, 46, bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Gebeng dan pendapatannya hanya cukup untuk menampung keperluan keluarga dan anak yang sedang menuntut.

Tiga lagi anak pasangan berkenaan ialah Wan Mohd Ikhwan, 24, dan Wan Nur Adawiyah, 20, yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) selain Wan Nur Irsalina, 22, yang sudah bekerja.

Wan Muhammad Imamuddin Haikal yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 1560 1216 5721 (Wan Abd Raha Wan Abd Rahman).

Menurutnya, Wan Muhammad Imamuddin Haikal mengalami masalah pendengaran apabila tidak memberi sebarang tindak balas terhadap bunyi sejak dilahirkan.

Berikutan itu, anak bongsu daripada empat beradik itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani pemeriksaan sebelum disahkan mengalami masalah pendengaran kritikal pada usia tiga bulan.

“Ketika pemeriksaan, Haikal turut dikesan ada katarak di kedua-dua belah matanya selain saluran jantung sempit.

“Katarak dan masalah pendengaran menyebabkan dia tidak memberi sebarang tindak balas sekali gus berdepan masalah pertuturan,” katanya.

Norzita bagaimanapun bersyukur kerana saluran jantung Wan Muhammad Imamuddin Haikal kini sudah kembali normal dan katarak di matanya juga sudah dibuang namun perlu memakai cermin mata.

“Kami lebih banyak guna bahasa isyarat kerana dia langsung tidak boleh mendengar dan bercakap. Dia akan menghampiri kami kalau hendakkan sesuatu.

“Dia hanya memberi tindak balas pada bunyi yang sangat kuat seperti petir dan guruh sahaja.

“Kalau ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan, kami amat menghargainya dan kami dahulukan dengan ucapan terima kasih,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker