MSF gesa UNSC menuntut gencatan senjata segera di Gaza

 

Oleh Pena Merah

MSF gesa UNSC menuntut gencatan senjata segera di Gaza
Tentera Israel mengawal Hospital Nasser di Gaza.

Pertubuhan kemanusiaan perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF) pada Khamis menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata segera di Gaza serta memastikan perlindungan terhadap kemudahan kesihatan, termasuk pekerja dan pesakitnya.

Setiausaha Agung MSF, Christopher Lockyear, berkata dunia sedang memerhatikan tindakan badan keselamatan dunia itu yang seolah-olah sengaja dan membiarkan orang awam terus mati.

Dalam ucapannya pada persidangan UNSC, beliau turut menyuarakan kemarahannya terhadap veto Amerika Syarikat (AS) yang baru-baru ini menghalang resolusi paling diperlukan, bagi menuntut gencatan senjata segera dan berterusan.

“Tiga kali UNSC mempunyai peluang untuk mengundi gencatan senjata yang sangat diperlukan. Tiga kali juga AS menggunakan kuasa vetonya,” katanya.

Memetik laporan portal berita Arab News, beliau berkata, draf resolusi dibentangkan AS minggu lalu, iaitu bagi menyaingi draf dibawa Algeria yang diveto sebelumnya, kononnya menggesa gencatan senjata adalah mengelirukan.

Biarpun draf AS itu kononnya menyokong gesaan untuk gencatan senjata segera, namun ramai memahami pelaksanaannya hanya akan diputuskan selepas dipersetujui oleh Israel.

Lockyear menggesa UNSC untuk menolak sebarang resolusi yang menghalang usaha kemanusiaan di lapangan serta segala bentuk keganasan dan kekejaman besar-besaran yang berterusan di Gaza.

“Rakyat Gaza memerlukan gencatan senjata, bukan apabila ianya boleh dilaksanakan, tetapi dilaksana sekarang. Mereka memerlukan gencatan senjata yang berterusan, bukan tempoh tenang sementara.

“Kegagalan melaksanakannya adalah satu kecuaian yang teruk. Perlindungan orang awam di Gaza tidak boleh bergantung pada resolusi dari UNSC yang memperalatkan kemanusiaan untuk mengaburi objektif politiknya,” katanya.

Lockyear turut melukis lakaran bagi menggambarkan situasi di Rafah, yang kini dijadikan tempat perlindungan terakhir bagi penduduk Gaza, yang mana lebih satu juta penduduk Palestin sedang berlindung, kini berdepan pula kebimbangan mengenai pencerobohan darat oleh rejim Zionis.

Konflik berlarutan lebih empat bulan itu sudah membunuh hampir 30,000 rakyat Palestin.

Lockyear berkata, dianggarkan lebih 1.7 juta dipindahkan secara paksa, dengan ramai yang mengalami kecederaan dan dijangkiti penyakit, berikutan usaha untuk menyediakan penjagaan kesihatan menjadi hampir mustahil di Gaza, selepas kemudahan kesihatan turut menjadi sasaran rejim.

“Pesakit kami mengalami kecederaan parah, anggota badan hancur dan melecur teruk. Mereka memerlukan penjagaan yang canggih, selain tempoh pemulihan yang panjang dan intensif.

“Pakar perubatan tidak boleh merawat kecederaan ini di medan perang atau di bangunan hospital yang sudah musnah. Pakar bedah kami kehabisan peralatan untuk menghentikan darah yang keluar dari pesakit. Mereka terpaksa menggunakan peralatan yang sama, berkali-kali untuk digunakan kepada pesakit yang lain.

“Krisis kemanusiaan di Gaza mengakibatkan wanita hamil tidak menerima rawatan perubatan selama berbulan-bulan. Wanita yang sedang bersalin tidak dapat ruang bersalin sempurna. Mereka bersalin di dalam khemah plastik dan bangunan awam,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak yang terselamat dalam peperangan ini bukan saja akan menanggung kecederaan dan trauma, sebaliknya berdepan ketakutan berterusan selepas menyaksikan ahli keluarganya dibunuh di depan mata mereka.

“Kecederaan psikologi ini menyebabkan kanak-kanak seawal lima tahun memberitahu kami mereka lebih rela mati,” katanya.

Pada 20 Februari, isteri dan menantu seorang kakitangan MSF turut terbunuh, sementara enam lagi cedera selepas kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke atas tempat perlindungan kakitangan MSF yang ditanda dengan jelas di Al-Mawasi di Khan Younis, Gaza.

Lockyear berkata serangan Israel terhadap kemudahan dan kakitangan perubatan kini menjadi “terlalu biasa.”

Beliau berkata tentera Israel menyerang konvoi, menahan kakitangan dan merampas kenderaan mereka, manakala hospital dibom dan diserbu.

“Corak serangan ini sama ada disengajakan atau ketidakcekapan melulu. Rakan sekerja kami di Gaza takut jika saya bercakap dengan anda hari ini, mereka akan dihukum esok.” – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker