Mexico tersingkir sekalipun tewaskan Arab Saudi

LUSAIL: Mexico meledak dua gol dalam tempoh lima minit pada babak kedua sebagai usaha untuk kekal dalam saingan Piala Dunia.

Namun, kemenangan 2-1 ke atas Arab Saudi itu tidak mampu membawa mereka ke pusingan kalah mati hanya kerana perbezaan jaringan gol.

Henry Martin dan Luis Chavez menjaringkan gol berkenaan selepas rehat babak pertama, namun beberapa percubaan dilakukan Mexico selepas itu berjaya diselamatkan penjaga gol Arab Saudi, Mohamed Al-Owais.



Begitupun, penyerang Arab Saudi, Sale Al-Dawsari berjaya menghidupkan saingan apabila meledak gol pada masa tambahan dan menjadikan kemenangan memihak kepada Mexico dengan 2-1.

Namun, malang buat Mexico kerana perbezaan jaringan gol berbanding Poland dalam carta kumpulan menyaksikan mereka terpaksa disingkirkan.

Dengan Mexico terkeluar daripada kejohanan, ia secara tidak langsung menamatkan kejayaan mereka yang sebelum ini membuat tujuh penampilan di pusingan 16 terbaik di Piala Dunia.

“Sukar untuk dihadam dan dikatakan,” kata pemain tengah Mexico, Edson Alvarez.



“Pasukan sudah berusaha daripada awal perlawanan dan kami mempunyai banyak peluang. Namun kami tidak mampu melakukan penyudah dan ia begitu pahit buat kami.”

Mexico sebelum ini gagal meledak jaringan pada dua perlawanan Kumpulan C dan peluang mereka untuk mara tampak sukar sebelum sepak mula, apabila harus bergantung harap kepada keputusan perlawanan antara Argentina dan Poland.

Perlawanan itu dimenangi Argentina dengan keputusan 2-0 sekali gus menjuarai peringkat kumpulan.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button