Peluang terakhir ‘kuda tua’ Uruguay buktikan sentuhan
DOHA: Penyerang bintang Uruguay, Luis Suarez dan Edinson Cavani berdepan kemungkinan tersingkir daripada Piala Dunia namun jurulatih pasukan, Diego Alonso paling teruk dikecam di negara itu.
Dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi menyinar dalam apa yang disifatkan sebagai Piala Dunia terakhir mereka, dua pemain veteran Uruguay itu makin tidak nampak dalam radar.
Suarez dan Cavani, masing-masing berusia 35 tahun, sudah berkata bahawa ini akan menjadi Piala Dunia terakhir mereka dan selepas seri 0-0 berdepan Korea Selatan serta kalah 2-0 kepada Portugal, pertembungan Kumpulan H esok berdepan Ghana boleh menjadi aksi terakhir mereka di pentas tertinggi.
Tanpa mengambil kira Ronaldo dan Messi, Suarez dan Cavani tidak dinafikan dua penyerang terhebat pernah disaksikan dalam generasi mereka.
Mereka menghuni dua tempat teratas pemain dengan rekod sepanjang zaman Uruguay dengan Suarez di kedudukan teratas dan mereka adalah sebahagian pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010 sebelum menjuarai Copa America setahun kemudian.
Ketika Messi meledak tatkala Argentina menang 2-0 mengatasi Mexico di Qatar dan Ronaldo mencipta sejarah pemain pertama meledak dalam lima Pial Dunia, pasangan Uruguay itu jelas mengecewakan.
Namun di Uruguay, fokus tidak terarah kepada penyerang veteran itu sebaliknya Alonso yang berdepan kritikan teruk.
“Kami tidak pernah berhenti melakukannya (gaya serangan) tetapi pasukan lawan juga menggunakan cara sama,” kata Alonso.
“Itu bukan bermaksud kami tidak mahu mencuba. Kadangkala lawan anda juga bersaing dengan baik, bermain bagus dan menghalang anda untuk berada dalam posisi yang anda mahukan.”
Sebahagian pengkritik pula menyedari had yang ada pada dua penyerang berusia 35 tahun itu tetapi tidak menyalahkan mereka terhadap kegagalan Uruguay.
Melainkan mereka berjaya mendapatkan kembali prestasi terbaik menentangt Ghana esok, karier penyerang terhebat Uruguay itu boleh berakhir secara anti klimaks.
AFP