Ronaldo sedia beraksi di Arab Saudi, terima RM922j setahun

London: Cristiano Ronaldo dilaporkan bersetuju dengan tawaran kontrak mega £172.9 juta (RM922 juta) setahun dengan kelab Al Nassr di Arab Saudi.

Kontrak pemain berusia 37 tahun itu di Manchester United ditamatkan awal bulan ini susulan temubualnya dengan Piers Morgan yang mencetuskan kemarahan hierarki United.

Bintang antarabangsa Portugal itu berusaha mencari jalan keluar dari Old Trafford pada musim panas tetapi hanya berminat beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.



Bekas bintang Real Madrid itu menolak perpindahan ke Arab Saudi musim panas lalu tetapi tanpa tawaran serius daripada kelab elit Eropah, dia tiada pilihan lain dan mengalihkan tumpuan ke negara Teluk.

Ronaldo dilapor bersetuju dengan kontrak dua tahun setengah dengan Al Nassr bernilai £172.9 juta (RM922 juta) setahun dan beraksi sehingga berusia 40 tahun, menurut media Sepanyol, Marca.

Al-Nassr antara kelab paling berjaya di Arab Saudi, sembilan kali muncul juara liga negara itu dengan kejayaan terakhir pada 2019.

Laporan sama turut menyatakan tiada kelab Eropah atau MLS mampu menawarkan jumlah sama atau paling hampir berbanding kontrak ditawarkan Al-Nassr.

Namun Ronaldo masih kekal fokus di Piala Dunia di Qatar dengan tumpuannya kini mahu membantu Portugal menjuarai kumpulan apabila berdepan Korea Selatan Jumaat ini.



Penyerang itu menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia berbeza selepas menjaringkan penalti ketika menewaskan Ghana.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button