Siti Bainun tidak keliru dengan pertuduhan

Oleh – Syeikh  Baran


Siti Bainun tidak keliru dengan pertuduhan
Siti Bainun ketika hadir di Mahkamah Tinggi pada prosiding Mac lalu.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini merumuskan terdapat 18 kecederaan dan parut-parut pada badan remaja sindrom Down Bella yang telah dibuktikan oleh kesemua saksi-saksi perubatan dalam dua pertuduhan Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Ia yang mana kecederaan itu adalah bukan kemalangan atau perbuatan mangsa sendiri (Bella) selain hasil pemeriksaan mendapati kecederaan dialami bukan merupakan kecederaan yang terhasil oleh satu insiden dan berlaku pada masa-masa yang berbeza.



Dalam penghakiman ketika menolak rayuan ketepi sabitan dan hukuman Siti Bainun selaku perayu, Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata saksi mata Yasmin Nahar Mahmood (bekas penghuni Rumah Bonda) iaitu saksi pendakwaan kelima (SP5), keterangannya telah disokong oleh saksi-saksi perubatan yang merupakan saksi-saksi pakar yang memeriksa mangsa.

Menurut Hakim Noorin selain keterangan daripada SP5, keterangan SP8, Suhana Zam (rakan baik Siti Bainun) turut disokong oleh keterangan perubatan yang secara konsisten mendapati kecederaan dialami mangsa bukan kemalangan.

“Mangsa adalah kanak-kanak istimewa, dan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhannya melengkapkan naratif kes pendakwaan bahawa mangsa telah diabaikan dan dianiaya sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi,” kata Hakim itu.

Sementara itu berhubung isu perayu keliru mengenai pertuduhan, Hakim itu menyatakan berdasarkan nota keterangan, perayu tidak terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya yang mengakibatkan perayu tidak berupaya untuk membela diri.



“Mahkamah mendapati perayu telah diberikan notis mencukupi melalui pertuduhan yang dikemukakan sejak dari awal dan dia berupaya memahami ‘the nature of the case’ iaitu mengenai bagaimana kesalahan itu dilakukan.

“Kecederaan yang dialami oleh mangsa yang merupakan kanak-kanak istimewa menjurus kepada satu kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh seorang pelaku,” katanya.

Terdahulu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down Bella di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun selaku perayu untuk mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya.



Dengan keputusan itu, mahkamah akan mendengar rayuan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohona pihak pembelaan Siti Bainun untuk hukuman yang mana perayu kini genap setahun di Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.



Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md Noor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button