Bola sepak Jerman perlu perubahan segera

AL KHOR, Qatar: Jurulatih Hansi Flick menggesa perubahan segera dalam pembangunan bola sepak remaja Jerman, selepas “kekecewaan besar” tersingkir pada peringkat kumpulan bagi dua Piala Dunia berturut-turut.

Sekalipun menewaskan Costa Rica 4-2 awal pagi tadi, Jerman tersingkir menerusi perbezaan jaringan selepas Jepun melakar kejutan besar mengalahkan Sepanyol 2-1 dalam satu lagi aksi kumpulan itu pada malam yang penuh mendebarkan di Qatar.

Sebelum perlawanan, pemenang Piala Dunia 1990 dan bekas pengurus Jerman, Juergen Klinsmann berkata, satu lagi kegagalan di peringkat kumpulan bermakna “bencana 10 kali ganda” berbanding penyingkiran awal di Russia empat tahun lalu.



Sejurus kebimbangan Klinsmann menjadi kenyataan, Flick berkata Jerman perlukan perubahan ketara dalam sistem pembangunan remajanya untuk kekal bersaing dengan negara lain.

Flick, yang mengambil alih daripada Joachim Loew selepas Kejohanan Eropah tahun lalu, berkata Jerman perlu mencontohi negara lain jika mahu meningkat, sambil menamakan Sepanyol sebagai contoh.

Mengakui ada “kekecewaan besar” dalam bilik persalinan, Flick berkata: “Kami memiliki pemain yang beraksi dengan kelab besar dan kami juga mempunyai kualiti (tetapi) saya percaya demi masa depan bola sepak Jerman, kami perlu mempraktikkan corak latihan yang berbeza.”

“Bertahun-tahun lamanya kami bercakap mengenai penjaga gol baharu, pemain sayap baharu, tetapi apa yang sering kali bagus (sebelum ini) kami boleh bertahan dengan baik, elemen ini yang kami mahu kekalkan.



“Kami perlu kembali kepada asas. Sekalipun Sepanyol tewas, kami patut melihat kepada mereka. Sepanyol amat bagus di benteng pertahanan, mereka fokus melatih pemain muda dan mereka juga mempertajamkan bahagian serangan.”

Ketika Jerman akan menjadi tuan rumah Euro pada 2024, Flick turut mencadangkan pasukan itu perlu melakukan perubahan generasi.

“Amat penting untuk fokus kepada generasi baharu bola sepak,” katanya.”Ada ramai pemain bagus bagi masa depan, tetapi bagi 10 tahun berikutnya, adalah amat penting kami membuat keputusan yang tepat bermula sekarang.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button