Mas Idayu nafi rumah tangga sedang berantakan

Penyanyi dangdut Mas Idayu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebuah portal yang melaporkan rumah tangga yang baru dibina bulan lalu sudah mula goyah.

Menerusi hantaran video di Instagram, Mas Idayu atau lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Mummy berkata, dia berasa terkejut apabila membaca berita yang disampaikan oleh peminatnya itu.

“Mummy rasa tak perlu kut menumpang populariti semata-mata nak naikkan page korang.

“Apa yang Mummy marah bila keluarnya tajuk ‘Baru Bahagia, Takkan Dah Duka’. Mummy baru mendirikan rumah tangga, hari ini (semalam) genap sebulan. Mummy tengah fikir apa korang nak sebenarnya?

“Mummy dah tunjuk kebahagian, percintaan dan juga hari perkahwinan Mummy. Tup-tup benda yang tak dikongsi korang boleh tahu. Korang duduk dalam kain Mummy ke? Malam-malam korang ada saka ke datang rumah Mummy, tengok Mummy gaduh ke apa? Mummy ok kot,” katanya.

Mas Idayu berkata, barangkali dakwaan tersebut tercetus apabila dia memuat naik status berbaur sedih di Instagram.

“Dari dulu kot Mummy suka letak caption sedih, happy dan kelakar. Korang tak tengok ke sebelum tu atau ambik tahu?

“Kenapa tak tanya Mummy dahulu apabila nampak hantaran berkenaan? Berat sangat ke benda tu sampai korang bodoh sangat nak tulis benda-benda macam tu? Dahlah tak sahih, tak kenal pula.

“Takda apa pun, Mummy ok je. Jangan buat cerita bodoh.

“Kalau nak tahu tanya. Tapi kalau seseorang itu mahu kongsi atau tidak, tak jadi masalah kerana itu hal peribadi mereka. Mummy ada keluarga, suami ada keluarga. Apa korang ni dah kemaruk nak viral?,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mas Idayu menyatakan dia dan suami, Muhammad Sufian Isa berada dalam keadaan baik dan bahagia.

“Mummy ok sahaja, bahagia. Tiada apa apa yang perlu kami beritahu. Doa yang baik-baik. Inai pun tak hilang lagi. Jangan buat andaian macam-macam, doa Mummy bahagia itu sahaja,” tutup Mas Idayu.

Mas Idayu dan Sufian mendirikan rumah tangga pada 16 September lalu di Event Hall, Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Terdahulu, penyanyi lagu Robek Hatiku itu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.

© Astro Gempak 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker