Gengster ‘jaga’ tapak sampah haram
Shah Alam: Kerajaan negeri mengenal pasti kebanyakan operator yang menjaga tapak pelupusan sampah haram adalah individu yang mempunyai latar belakang jenayah atau terbabit dengan kegiatan gengsterisme.
Ada juga halangan fizikal seperti provokasi pihak membuang sampah serta operator yang menguruskan tapak sampah haram, begitu juga kewujudan tonto yang berada di sekitar tapak yang memberikan maklumat keberadaan kenderaan Jabatan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Infrastruktur, Ng Sze Han berkata, keadaan itu antara halangan menyukarkan usaha pihak kerajaan membasmi aktiviti pembuangan sampah haram serta tapak sampah haram di negeri ini.
“Selain itu, kekangan punca kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana peruntukan perundangan sedia ada di bawah Undang- Undang Kecil (UUK) terhad dan tertakluk hanya kepada pembuang sampah (lori sampah), tidak termasuk operator yang menguruskan tapak sampah haram itu dan tiada peruntukan undang- undang yang boleh dikenakan kepada pengusaha sampah haram yang menggunakan tanah orang lain.
“Kuasa perundangan untuk dikenakan ke atas operator yang menjalankan (bukan yang membuang) adalah tidak jelas dan amaun denda pada peruntukan undang undang kecil adalah tidak relevan.
“Terdapat rumah ibadat yang didirikan dalam kawasan tapak pelupusan sampah haram dan menjadi isu keagamaan apabila penguatkuasaan dijalankan,” katanya menjawab pertanyaan berhubung halangan kerajaan negeri dalam isu sampah haram pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, tanah milik persendirian yang tidak diuruskan dan dijaga dengan baik turut menjadi kekangan kepada pihak kerajaan negeri.
“Maklumat pemilik tanah seperti alamat surat- menyurat dan nombor telefon untuk dihubungi juga sukar untuk diperolehi berikutan maklumat yang kadang kala tidak dikemas kini.
“Keadaan tanah terbiar/ premis terbiar dan lot rizab yang tiada kawalan oleh pemilik yang memudahkan pencerobohan oleh pihak lain selain aktiviti pembuangan sampah haram berulang semula di tempat sama.
“Begitu juga tindakan penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi kerajaan termasuk mengenal pasti pemilik yang sah mengambil masa yang panjang dan kekangan anggota bagi tujuan pemantauan dan tindakan dan kuasa-kuasa PBT ke atas pemilik tanah/ kenderaan-kenderaan yang membawa sampah adalah terhad,’ katanya.
Justeru itu katanya, isu pembuangan dan penjagaan alam sekitar berkait rapat dengan sikap dan tanggungjawab semua.
“Semua pihak perlu bekerjasama dan PBT akan mengambil tindakan mengikut peruntukan Akta dan undang-undang sedia ada bagi menangani isu sampah,” katanya.
METRO