‘Inilah keberanian Jepun’

DOHA: Jepun membuktikan mereka mempunyai “keberanian” untuk bertanding pada Piala Dunia, kata pemain pertahanan Yuto Nagatomo selepas Samurai Biru mengejutkan Sepanyol sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir.

Jepun melakar kejutan ke atas Jerman dan Sepanyol untuk menjuarai Kumpulan E, bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan mengagumkan dalam kedua-dua aksi.

Pasukan kendalian Hajime Moriyasu kini berdepan Croatia pada pusingan 16 terakhir dan Nagatomo percaya mereka boleh mencatat satu lagi kejutan menentang naib juara Piala Dunia 2018 itu.

“Tiada siapa di dunia percaya Jepun boleh muncul juara kumpulan ini, tiada siapa,” kata Nagatomo.”Tetapi kami percaya dan kami yakin ketika perlawanan hari ini. Kami membuktikan kepada dunia bagaimana rupanya keberanian Jepun.”



Nagatomo berkata pertembungan itu berlangsung “seperti yang dirancang” sekalipun Sepanyol membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi tandukan Alvaro Morata.

Jepun mengakhiri babak pertama tanpa dibolosi lagi sekalipun berdepan tekanan bertali arus Sepanyol dan dua gol menerusi Ritsu Doan serta Ao Tanaka pada awal babak kedua melengkapkan kebangkitan itu.

“Kami sedar ada kemungkinan kami akan melepaskan gol lagi dan kami tahu jika ia berlaku, kami pasti mengharungi satu perlawanan yang amat sukar,” kata Nagatomo.

“Kami bersedia menghadapi situasi itu dan kami melakukannya bersama. Tiada seorang pemain pun yang berputus asa.”



Moriyasu dikritik hebat selepas Jepun kecundang 1-0 kepada Costa Rica pada aksi kedua mereka namun Nagatomo berkata, jurulatih itu mengekalkan taktiknya menentang Sepanyol walaupun melepaskan gol awal.

“Pengurus tidak goyah. Dan jika pengurus tidak goyah, begitu juga kami sebagai pemain,” kata Nagatomo.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker