Kes demam denggi meningkat 8.9 peratus

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-47 meningkat 8.9 peratus iaitu 1,734 kes berbanding 1,593 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu itu.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini meningkat 139.1 peratus iaitu 56,304 kes berbanding 23,547 bagi tempoh sama tahun lalu, dengan 37 kematian akibat komplikasi denggi berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 54 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 61 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 25 lokaliti hotspot di Selangor, 19 di Sabah, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak dan satu di Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Dr Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan 18 kes pada ME ke-47 dengan 11 kes dari Pulau Pinang, Selangor (empat) dan masing-masing satu kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 710 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,939 sampel darah dan 17 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil semuanya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, taman rekreasi dan taman permainan masih berisiko menjadi tempat punca jangkitan demam denggi kerana mempunyai sampah serta bekas terbiar dibuang di persekitaran.

Katanya, amalan membuang bekas terpakai merata-rata termasuk di tanah lot kosong boleh mengancam kesihatan melalui jangkitan seperti demam denggi dan chikungunya serta mengganggu kelestarian alam sekitar.



“Individu yang beriadah di taman rekreasi perlu menggunakan perlindungan diri seperti memakai repelan pada kulit terutama pada waktu puncak gigitan nyamuk iaitu antara jam 5 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7 malam,” katanya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker