Misi hidup mati Korea Selatan

Doha: Kekecewaan jelas terbayang di raut wajah pemain Korea Selatan selepas tewas dalam aksi lima gol kepada Ghana tetapi mereka dijangka tidak mendapat belas ihsan daripada Portugal yang mahu mengesahkan kedudukan di tempat teratas dalam saingan peringkat kumpulan di Piala Dunia.

Korea Selatan perlu menewaskan juara Eropah 2016 Jumaat ini sambil mengharapkan keputusan perlawanan lain dalam Kumpulan H membabitkan Ghana dan Uruguay menyebelahi gergasi Asia itu.

Penyerang Son Heung-min mengalirkan air mata kecewa selepas tewas 2-3 kepada Ghana dan jurulatih Paulo Bento dilayang kad merah kerana bertekak dengan pengadil selepas wisel ditiup ketika pasukannya mahu mengambil sepakan sudut.

Bento tidak akan berada bersama pemain ketika menentang Portugal.

Pembantu jurulatih Sergio Costa berkata, Korea Selatan akan bangkit daripada kekecewaan.

“Kami jelas berhak menang,” kata Costa. “Percaya kepada kami untuk perlawanan seterusnya.”

Korea Selatan hanya meraih satu mata selepas seri aksi pembukaan menentang Uruguay dan wajib menewaskan Portugal bagi menghidupkan sisa peluang mereka layak ke peringkat seterusnya.

Di Piala Dunia 20 tahun lalu, Korea Selatan menewaskan Portugal yang beraksi 10 pemain pada aksi terakhir sekali gus tersingkir di peringkat kumpulan dan Korea Selatan mara sehingga ke separuh akhir.

Namun cerita berbeza di Qatar kali ini apabila Portugal bermula dengan bergaya selepas menewaskan Ghana 3-2 dalam aksi pembukaan sebelum menewaskan Uruguay 2-0 pada Isnin lalu.

Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker