Mahasiswa sambut baik kadar pinjaman PTPTN dinaikkan

 (Mahasiswa IPT seluruh negara menyambut baik inisiatif kerajaan menaikkan kadar pinjaman PTPTN kepada golongan M40 (M1) baru-baru ini. Foto BERNAMA)

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) menyambut baik pengumuman kerajaan menaikkan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (kategori M1) baru-baru ini.



Golongan M40 (M1) mengikut pengelasan baharu isi rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia adalah kumpulan yang berpendapatan antara RM4,851 hingga RM5,880 sebulan.

Naib Presiden, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Ct Faizah Abdul Rahman berkata, peningkatan 100 peratus pinjaman PTPTN itu membantu meringankan beban mahasiswa daripada keluarga M40 (M1) dalam menempuh cabaran sepanjang pengajian di kampus masing-masing.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan satu langkah terbaik yang diputuskan kerajaan dalam memelihara kebajikan golongan mahasiswa IPT seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, MPPK menyokong penuh usaha kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mahasiswa di kampus.



“MPPK menyambut baik inisiatif kerajaan menaikkan kadar pinjaman PTPTN bagi golongan M40 (M1) daripada 75 peratus kepada 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Dalam satu majlis baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan kadar pinjaman PTPTN kepada golongan M40 (M1) iaitu daripada 75 peratus kepada 100 peratus, sekali gus memberi manfaat kepada 64,301 pelajar IPT seluruh negara.

Dalam majlis yang sama, Ismail turut mengumumkan kerajaan bersetuju menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.

Dalam satu perkembangan lain, Ct Faizah berkata, MPPK juga menyokong pengumuman program Jualan Murah Keluarga Malaysia yang akan diadakan di setiap IPT, mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.



“MPPK harap lebih banyak inisiatif-inisiatif seperti ini dapat diwujudkan membabitkan golongan mahasiswa ,” tambahnya.

Menurutnya, inisiatif tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban Siswa Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pengajian mereka di institusi pengajian masing-masing.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kenaikan kadar pinjaman yang membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM183.5 juta untuk tempoh setahun itu adalah antara inisiatif kerajaan bagi meringankan beban pelajar di IPT seluruh negara, terutamanya daripada golongan M40.

“Selain itu, pemberian kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan B40 juga bakal meringankan beban mahasiswa yang memerlukan bagi menjalani proses pembelajaran lebih kondusif,” kata Noraini.



Mengulas lanjut, beliau berkata kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN itu pula akan memanfaatkan seramai 33,837 pelajar IPT awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM101.5 juta untuk tempoh setahun.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button