Penganggur didakwa edar syabu 23.2kg

MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mengedar syabu seberat 23.2 kilogram di Pulau Melaka, bulan lalu.

Tertuduh, Lau Siong Poh,50, dari Taman Johor Jaya, Johor, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan Majistret Nabilah Nizam berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Siong Poh didapati mengedar syabu dengan berat kasar 23.188 kilogram di Jalan Baiduri 8, Pulau Melaka, dekat sini, pada 22 November lalu, kira-kira jam 12.10 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.



Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Aliff Asraf kemudian memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan kimia berat dadah berkenaan.

Mahkamah menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia.

Media pada 22 November lalu, melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan penahanan seorang lelaki bersama dadah syabu seberat kira-kira 23 kilogram bernilai RM834,768.



Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilapor berkata, serbuan dilakukan sepasukan 18 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Johor di tepi jalan di kawasan Pulau Melaka, kira-kira jam 12.10 tengah malam.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker