Shah Rukh Khan tunai umrah

Makkah: Aktor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan kini berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah buat pertama kali.

Berdasarkan gambar serta video, aktor berusia 57 tahun itu lengkap memakai ihram dan diiringi beberapa lelaki dipercayai pengawal peribadi.

Menerusi foto berkenaan, beliau turut dilihat mengenakan pelitup muka namun ramai dikalangan jemaah lain yang berada di situ tetap mengenalinya.



Berdasarkan laporan Hindustan Times, pelakon itu terus mengerjakan umrah selepas menyempurnakan filem Dunki yang menjalani penggambaran di Arab Saudi.

Dunki adalah kerjasama pertamanya dengan pengarah, Rajkumar Hirani yang mengisahkan mengenai cubaan memasuki negara lain secara haram.

Berita Shah Rukh Khan mengerjakan umrah mencetuskan pelbagai komen positif warganet.

Malah sebahagian besar netizen mendoakan agar urusan ibadah SRK dilancarkan.



“Saya merasa terlalu emosional pada saat ini. Semoga Allah menjaga dia dan keluarganya,” tulis seorang warganet.

“Gembira sekali melihat dia (SRK) memenuhi keinginan mengunjungi tempat suci ini,” kata seorang peminat lain.

Berdasarkan maklumat peribadinya, Shah Rukh adalah seorang lelaki Muslim dan mendirikan rumah tangga dengan wanita beragama Hindu, Gauri Khan.

Perkahwinan yang didirikan pada tahun 1991 itu dikurniakan tiga cahaya iaitu Aryan, Suhana dan AbRam Khan.



Menerusi temu bual dengan Hindustan Times satu ketika dahulu, Shah Rukh pernah meluahkan keinginan mahu menunaikan ibadah haji bersama anak-anaknya.

“Menunaikan haji ada dalam agenda saya. Saya ingin ke sana bersama anak lelaki saya, Aryan dan puteri saya, Suhana,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button