Taman Bukit Berlian diisytihar kawasan bencana



SEREMBAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Negeri Sembilan, mengisytiharkan lokasi kejadian cerun runtuh dekat Taman Bukit Berlian, di sini, awal pagi semalam sebagai kawasan bencana.

Pengerusinya, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata berdasarkan penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati masih berlaku pergerakan tanah dan ia berisiko kepada penduduk.

“Runtuhan cerun itu dipercayai berpunca daripada aliran air luar biasa menyebabkan tanah menjadi lembut, seterusnya berlaku pergerakan dan siasatan awal JBPM mendapati masih berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi untuk menyebabkan runtuhan lebih besar.

“Sehingga jam 12 tengahari semalam, rekahan jalan akibat runtuhan semakin signifikan iaitu daripada



beberapa inci lebar kepada lebih kurang dua kaki lebar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hujan lebat petang semalam dan pemantauan di tempat kejadian pada jam 8 malam tadi mendapati tanah semakin mendap dan rekahan menjadi lebih besar.

“Terdapat 12 rumah di Jalan Berlian 5, dengan jumlah isi keluarga seramai 47 orang. Tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan akibat kejadian tanah runtuh ini.

“Berdasarkan penilaian awal JBPM, 12 unit rumah di kawasan berlaku runtuhan cerun adalah berisiko dan tidak selamat untuk diduduki.



“Oleh itu, semua penduduk bersetuju untuk keluar dari kediaman masing-masing sehingga siasatan lengkap dijalankan dan kerja baik pulih cerun selesai dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa. Perpindahan selesai jam 6 petang semalam.

“Kawasan kejadian di Jalan Bukit Berlian 5 di mana berlaku runtuhan cerun adalah dengan ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana.

“Sebarang pergerakan keluar masuk tanpa autoriti adalah di bawah risiko masing-masing dan pihak berwajib tidak bertanggungjawab ke atas sebarang insiden yang berlaku,” ulasnya.

Razali berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban sudah diaktifkan dan boleh dihubungi di talian 06-6011038.



“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) beroperasi di lokasi dan kawalan di tempat kejadian akan diuruskan mengikut mekanisme pengurusan bencana negara,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker