Air mata Son

DOHA: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min berkata dia menangis kerana gembira selepas pasukannya menewaskan Portugal 2-1 dan mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia.

Wakil Asia itu begitu hampir dengan penyingkiran sepanjang permainan tetapi jaringan kemenangan minit ke-91 Hwang Hee-chan melonjak Korea Selatan ke tangga kedua Kumpulan H, di belakang Portugal.

Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu beberapa minit selepas permainan untuk menanti keputusan perlawanan antara Uruguay dan Ghana.

Uruguay menewaskan Ghana 2-0 tetapi gagal mencari gol tambahan untuk kembali memintas Korea Selatan di tangga kedua.

Heung-min yang juga penyerang Tottenham, masih belum menjaringkan gol pada kempen kali ini, tetapi mencetus gerakan untuk jaringan kemenangan Hee-chan.

“Saya yakin air mata ini adalah air mata kegembiraan. Kami menunggu terlalu lama untuk saat ini dan sebagai pemain kami percaya kami mampu melakukannya.

“Ada ketika saya rasa tidak mampu untuk memberikan yang terbaik tetapi saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu apabila saya gagal menyempurnakan tugas saya, sama bangga dengan mereka,” kata Heung-min.

Korea Selatan, yang tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2014 dan 2018, kini mara ke pusingan kalah mati buat kali ketiga sepanjang beraksi di Piala Dunia.

Jika Brazil muncul juara kumpulan, mereka akan bertemu Korea Selatan pada pusingan seterusnya.

“Mara ke pusingan 16 adalah sasaran kami dan kini kami mempunyai sasaran lebih tinggi dan akan cuba mencapainya.

“Jika kami berpeluang menewaskan Brazil, kami akan melakukan yang terbaik dan membuat persediaan,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker