Saya bukan ahli silap mata – Jurulatih Poland

DOHA: Penyandang juara Piala Dunia, Perancis agak diragui kemampuan mereka ketika hadir pada kejohanan kali ini, namun mereka berjaya melenyapkan semua kritikan dan kini menghadapi pusingan 16 terakhir dengan penuh keyakinan.

Les Bleus kalah pada aksi terakhir menentang Tunisia, namun mereka sebenarnya beraksi dengan hampir semua pemain pelapis selepas memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati, sekali gus mampu menggilirkan pemain.

Malah, Perancis sepatutnya boleh menjaringkan gol penyamaan sekiranya gol Antoine Griezmann tidak diputuskan sebagai ofsaid.

Mereka berdepan pasukan Poland yang hanya mampu menjaringkan gol dalam satu daripada tiga perlawanan pada peringkat kumpulan, dengan kedua-dua jaringan mereka hadir pada aksi menentang Arab Saudi.

Ketua jurulatih, Czeslaw Michniewicz sedar pasukannya perlu meningkat jika mahu melakar kemenangan mengejut ke atas juara bertahan Piala Dunia itu.

Michniewicz berseloroh beliau hanya boleh menyenaraikan pemain yang dimiliki dan tugasnya untuk menghasilkan yang terbaik daripada mereka, tetapi beliau bukannya seorang ahli silap mata.

“Saya tidak boleh mengubah air menjadi wain sekalipun ia mungkin berguna ketika ini,” katanya secara berseloroh selepas seri 0-0 dengan Mexico.

Selepas mengungguli Kumpulan D dengan bergaya kecuali kekalahan pasukan B ketika menentang Tunisia, Perancis muncul pilihan utama menentang Poland yang gagal menyerlah setakat ini.

Sudah 40 tahun sejak Perancis mengalami kekalahan di tangan Poland yang menewaskan mereka 3-2 pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 1982, sebelum menang 4-0 pada aksi persahabatan pada hujung tahun itu.

Namun, sejak itu Les Bleus meraih tujuh keputusan tanpa kalah berturut-turut menentang naib juara Kumpulan C itu dengan terbaru menang 1-0 pada aksi persahabatan 11 tahun lalu.

Poland mungkin dianggap sebagai ancaman utama, tetapi Perancis tetap tampil sebagai pilihan utama untuk memenangi pertembungan dua pasukan Eropah di Stadium Al Thumama malam esok.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker