Harga saham Jiankun, PEnergy, RL dijangka jejaki MQTech, SMTrack, ASB



KUALA LUMPUR: Lebih banyak kaunter saham berkaitan politik atau dua Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu dilantik dijangka jadi perhatian pelabur minggu ini.

Selepas pasaran ditutup pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai TPM.

Seperti yang dijangka pada penutupan, ‘Saham berkaitan Anwar’, Advance Synergy Bhd (ASB) ditutup pada 19 sen, naik 1.5 sen atau 8.57 peratus, dengan 227.1 juta saham didagangkan.

Dalam pada itu, ‘Saham berkaitan Zahid’, MQ Technology Bhd (MQTech) ditutup pada 5.5 sen, naik 0.5 sen atau 10.0 pertus dengan jumlah 119.5 juta saham diniagakan; dan SM Technology Bhd (SMTrack) ditutup pada 6.5 sen, naik 0.5 sen atau 8.33 peratus, dengan sejumlah 56.5 juta saham didagangkan.



Ironinya, Jiankun International Bhd (Jiankun), yang juga dikaitkan dengan Ahmad Zahid masih ketinggalan dari segi jumlah dagangan.

Jiankun ditutup pada 26 sen, naik 2 sen dengan hanya 11.9 juta saham diniagakan.

Anak perempuan Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid ialah Pengarah dan Naib Pengerusi MQTech, manakala menantunya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff adalah Ahli Lembaga Pengarah Jiankun dan SMTrack.

Seorang penganalisis berkata, Saiful ialah antara individu utama yang membolehkan Jiankun memperoleh projek pembangunan bernilai RM1.2 bilion di Kampung Baru, Kuala Lumpur, di sepanjang Jalan Tun Razak, yang diumumkan sebelum ini di laman web Bursa Malaysia.



Menurut pakar industri, projek premium seumpama itu di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Kuala Lumpur sepatutnya menjana pulangan sekurang-kurangnya RM400 juta kepada Jiankun.

“Sejak pembubaran Parlimen Malaysia, harga saham ASB telah meningkat daripada paras rendah 6.5 sen pada 4 November kepada paras tertinggi 32 sen pada 24 November, lonjakan sebanyak 400 peratus,” katanya.

Berdasarkan pergerakan harga saham ASB sebelum ini, penganalisis itu berkata, Jiankun terpinggir daripada kenaikan pada minggu lalu, justeru berpotensi menjejak kenaikan pada minggu ini.

Jiankun, MQTech dan SMTrack dijangka mengulangi prestasi ASB dan mereka berada pada trajektori menaik.



“Jiankun dijangka menjejaki harga sasarannya iaitu RM1.00, manakala kedua-dua MQTech dan SMTrack dijangka mencecah 21 sen.

“Pelantikan mengejut rakyat Sarawak sebagai TPM juga berpotensi mencetuskan kenaikan mendadak saham syarikat Sarawak. Ramai pelabur terkejut dengan pertambahan besar dalam kehadiran rakyat Sarawak dalam Kabinet Perpaduan Nasional yang baharu serta pelantikan Fadillah sebagai TPM,” katanya.

Katanya, ini adalah pelantikan pertama rakyat Malaysia Timur sebagai Timbalan Perdana Menteri sejak Malaysia merdeka dan pasaran dijangka bertindak balas positif terhadap beberapa syarikat berpangkalan di Sarawak yang dikaitkan dengan Fadillah, seperti Petra Energy Bhd (PEnergy) dan Reservoir Link Energy Bhd (RL).

Petra Energy, sebuah syarikat minyak dan gas yang terbabit dalam menyediakan rangkaian perkhidmatan lapangan bersepadu untuk industri minyak dan gas huluan di Malaysia adalah 29.04 peratus milik oleh Shorefield Resources Sdn Bhd, sebuah tujuan khas pelaburan swasta Tan Sri Bustari Yusof.



Tentunya, Bustari tidak lain tidak bukan adalah abang kepada TPM yang baru dilantik iaitu Fadillah.

RL adalah sebuah lagi syarikat berpangkalan di Sarawak yang menyediakan perkhidmatan minyak dan gas serta perkhidmatan yang menyokong pengendali dalam sektor huluan industri minyak dan gas.

Fakta yang kurang diketahui umum adalah Bustari, melalui Shorefield Offshore Services Sdn Bhd memiliki 60 peratus pegangan dalam Reservoir Link Sdn Bhd (RLSB) pada tahun 2010.

Selain itu, Datuk Eddie Ong Choo Meng juga sebagai ialah pemegang saham ketiga terbesarnya, memegang 4.132 peratus kepentingan, selepas Pansar Bhd serta Thien Chiet Chai, Pengasas Reservoir Link.

Ong adalah salah seorang personaliti korporat yang kerap diperkatakan serta terkenal dengan pengembangan perniagaan Hextar Global Bhd.

Beliau dikenali sebagai individu yang mempunyai ‘Sentuhan Midas’ kerana harga saham syarikat yang setiap kali dilabur beliau meningkat tinggi.

Pemegang saham lain termasuk Affin Hwang Asset Management melalui dua sub-dananya dan Datuk Au Yee Boon dari YB Ventures Bhd, yang juga memegang 2.295 peratus kepentingan melalui Yi-Lai Marketing Sdn Bhd.

Baru-baru ini, RL telah mempelbagaikan perniagaan kepada segmen tenaga boleh diperbaharui melalui pemerolehan 51 peratus Founder Energy Sdn Bhd daripada Solar Bina Engineering Sdn Bhd, salah satu kontraktor solar EPCC terbesar di Malaysia.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker