Kemalangan 2 kereta, wanita maut tersepit
KLUANG: Seorang wanita maut selepas Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah Proton Wira di Jalan Kahang Barat, di sini tengah hari tadi.
Mangsa, Norsahida Ramdan, 42, dari FELDA Felda Kahang Barat, parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua wanita dalam Proton Wira iaitu pemandu dan penumpang masing-masing berusia 29 dan 70 tahun cedera dan kini menerima rawatan di zon merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh mengesahkan kejadian itu dengan siasatan awal mendapati Perodua Kancil dipandu mangsa disyaki hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan Proton Wira berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Kancil yang tersepit pada tempat duduk cedera teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan ll Mohd Noorhakim Nordin, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang yang bergegas ke lokasi membantu mengeluarkan pemandu Perodua Kancil yang tersepit di tempat duduk.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
BHOnline