Neymar kembali jalani latihan

DOHA: Bintang sensasi, Neymar kembali menjalani latihan bersama Brazil semalam, dua hari sebelum pasukan membuat perhitungan dengan Korea Selatan dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

Selain Neymar, pasukan turut menerima khabar gembira dengan kehadiran semula bek kiri, Alex Telles dan penyerang Gabriel Jesus yang sebelum ini diketepikan kerana mengalami kecederaan ketika tewas kepada Cameroon 1-0.

Sebelum ini, Neymar tidak berada di pusat latihan pasukan sejak mengalami kecederaan ligamen di bahagian buku lali kanannya ketika perlawanan pembukaan Brazil menentang Serbia.



“Saya berasa baik,” kata Neymar dalam hantarannya di Instagram.

“Saya tahu yang saya mampu pada ketika ini,” katanya.

Neymar dilihat menjalani sesi latihan ringan bersama pemain yang tidak diturunkan pada Jumaat lalu.

Dalam satu imej gambar oleh Konfederasi Bolasepak Brazil, Neymar melakukan gelecekan, menyepak bola dengan kaki kanan dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan.



Bagaimanapun, doktor pasukan Brazil belum memberi maklumat terkini mengenai keadaan Neymar ataupun mengesahkan dia boleh beraksi untuk perlawanan menentang Korea Selatan.

Untuk rekod, Neymar yang sedang memburu gelaran utama pertamanya bersama Brazil, pernah diketepikan pada Piala Dunia 2014 kerana mengalami kecederaan belakang di suku akhir ketika menentang Colombia.

Dia juga tidak beraksi di Copa Amerika 2019 kerana cedera di buku lali kanan.

Neymar turut menghantar mesej sebagai tanda sokongan kepada Telles dan Jesus, yang mengalami kecederaan lutut kanan ketika Brazil tewas kepada Cameroon pada aksi terakhir peringkat kumpulan.



“Kekuatan dan keyakinan penuh,” katanya dalam laman sosial yang sama dengan memuatnaik gambar kedua-dua pemain.

“Kita semua akan sentiasa bersama.”

Telles membuat kemunculan pertamanya pada perlawanan kedua Brazil menentang Switzerland selepas pemain pilihan utama, Alex Sandro mengalami kecederaan, manakala Jesus diturunkan daripada bangku simpanan dalam dua perlawanan pertama.

Pasukan Brazil sedang memburu trofi pertama Piala Dunia sejak kali terakhir dijulang mereka dua dekad lalu.



AP

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button