Setiausaha Politik Ahli Parlimen ditipu RM3,000

SEREMBAN: Setiausaha Politik kepada seorang Ahli Parlimen di negeri ini, kerugian RM3,000 selepas meminjamkan wang kepada seorang wanita yang menyamar sebagai rakannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, lelaki berusia 50 tahun itu dihubungi ‘rakan’ yang kononnya terdesak memerlukan bantuan kewangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata suspek bertindak licik apabila mengaku namanya seperti yang disebut mangsa secara rambang.



“Ketika berada di tempat kerjanya di sebuah Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menggunakan nombor tidak dikenali.

“Wanita itu mendakwa keretanya dipecah masuk dan kehilangan telefon bimbit serta dompet. Suspek meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam satu akaun milik seorang lelaki.

“Mangsa kemudian bertanya nama wanita itu. Bagaimanapun, suspek meminta mangsa meneka namanya sebelum lelaki itu menyebut nama salah seorang kenalan, dan wanita berkenaan hanya mengiyakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, Aibee berkata, mangsa mempercayai ‘rakannya’ itu memerlukan bantuan kewangan, lalu melakukan transaksi dalam talian berjumlah RM3,000.



“Sindiket kemudian menghubungi lelaki itu sekali lagi dan memintanya membuat transaksi ke akaun sama berjumlah RM6,000.

“Namun, mangsa berasa curiga lalu terus menghubungi nombor telefon sebenar milik rakannya itu untuk bertanya tujuan meminjam wang hingga mencecah RM9,000.

“Bagaimanapun, rakannya itu mendakwa tiada menghubungi mangsa untuk meminjam wang. Mangsa yang tertipu kemudian membuat laporan di Balai Polis Campbell, semalam,” katanya.

Berikutan itu, Aibee berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada ketika mahu meminjamkan wang kepada individu yang menghubungi dengan mendakwa sebagai rakan.

“Sejak kebelakangan ini, kes membabitkan sindiket menyamar sebagai rakan semakin menjadi-jadi, yang mana suspek menggunakan pelbagai medium seperti panggilan telefon dan menggodam aplikasi Telegram serta WhatsApp,” katanya.

BHOnline

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button