UMNO sokong segerakan RCI siasat perbelanjaan RM600 bilion



KUALA LUMPUR: UMNO menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata menerusi RCI, ia dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Kelmarin ada laporan polis dibuat mengenai RM600 bilion itu dan saya rasa perkara ini perlu diteruskan, sebab RM600 bilion ini satu jumlah yang besar.

“Bajet Persekutuan pun RM300 bilion (setahun) jadi bersamaan dua tahun bajet Persekutuan… bila kita nak tanya pasal benda ini ketika PKP itu tak boleh (sebab) Parlimen ditutup dan dia (Muhyiddin) buat (isytihar) darurat.



“Jadi, kali ini kita nak tanyalah mana dana ini pergi terutama bila kita nampak ‘time’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu hari, perbelanjaan PN (Perikatan Nasional) untuk pilihan raya mewah betul tiada tin ‘milo’, jadi kita nak tahu juga mana dia dapat duit,” katanya dengan klip video siaran langsung berdurasi 11 minit sembilan saat dikongsikan di Facebook beliau malam tadi.

Klip itu dipercayai dirakamkan di pusat daerah mengundi (PDM) Pianggu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman ketika sesi karaoke bersama penduduk di sana malam tadi.

Dalam pada itu Isham berkata pemimpin PN juga perlu bersedia untuk didakwa di mahkamah sekiranya mahu membuktikan mereka bersih daripada sebarang amalan rasuah.

Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan, turut mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tujuan perbelanjaan digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.



Sany yang juga ahli Parlimen Hulu Langat turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Adly dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana menurutnya semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.



Isnin lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter berkata perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut menolak dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022.

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank),” katanya.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker