Bekalan ikan berkurangan, harga naik hingga RM3 sekilogram
KOTA BHARU: Cuaca tidak menentu dengan hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan bekalan ikan di Kelantan berkurangan.
Harga ikan juga menyaksikan peningkatan RM1 hingga RM3 berikutan nelayan tidak turun ke laut.
Bagaimanapun, peniaga mendakwa mereka tidak menaikkan harga ikan walaupun berdepan masalah kekurangan bekalan.
Peniaga ikan yang mahu dikenali sebagai Hassan, berkata harga ikan mula meningkat sejak dua minggu lalu.
“Sebagai contoh ikan kembung dan selar saya terpaksa jual dengan harga RM22 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM18 atau RM19 sekilogram.
“Ini kerana saya sendiri sudah membeli dengan harga yang mahal dan disebabkan itu saya juga terpaksa menjual dengan harga yang tinggi.
“Namun setiap kali musim tengkujuh memang harga ikan akan meningkat dan ada juga pembeli yang mengeluh kerana terlalu mahal,” katanya yang menjual ikan di Pasir Mas.
Pemborong ikan, Mohd Adam Ahmad Tarmizi, 35, berkata harga ikan masih tidak stabil namun masih tidak terlalu tinggi.
“Bekalan ikan juga semakin berkurangan sebagai contoh hari ini ikan kembung, ikan tongkol berkurangan berbanding sebelum ini dan ini disebabkan musim monsun sudah tiba.
“Kekurangan bekalan ikan juga agak ketara iaitu 50 peratus berbanding beberapa hari lalu. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, semestinya harga ikan juga tidak menentu.
“Untuk pemborong di Pasar Borong Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), kita mendapat bekalan ikan daripada beberapa negeri termasuk dari Pantai Timur selain daripada Thailand dan diakui harga bekalan ikan dari pelabuhan Pantai Timur menyaksikan peningkatan,” katanya.
BHOnline