Hanya trofi Piala Dunia idaman Mbappe

DOHA: Kylian Mbappe berkata hari ini bahawa impiannya ialah menang Piala Dunia buat kali kedua selepas dua jaringannya membantu Perancis menang 3-1 mengatasi Poland seterusnya membawa juara bertahan itu ke suku akhir di Qatar.

“Sudah tentu, Piala Dunia ini adalah yang paling saya mahukan, ia kejohanan yang menjadi impian saya,” kata pemain berusia 23 tahun itu yang menyerlah di pentas global apabila Perancis menang gelaran di Russia empat tahun lalu.

“Saya membina musim untuk kejohanan ini dan saya sudah bersedia mental dan fizikal untuknya.



“Saya mahu datang ke sini dengan bersedia dan setakat ini semuanya berjalan lancar, tapi kami masih jauh dari objektif yang kami tetapkan dan yang saya tetapkan.”

Bintang Paris Saint-Germain itu sudah mengumpul lima gol dalam hanya empat aksi setakat ini dan bergelar penjaring kedua terbanyak Perancis di Piala Dunia dengan sembilan gol dalam 11 penampilan.

Hanya Just Fontaine, yang meledak 13 kali pada kejohanan 1958 di Sweden, memiliki lebih banyak gol Piala Dunia buat Perancis.

Mbappe bagaimanapun menegaskan dia tidak kisah dengan prospek menang Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.



“Objektif saya hanya untuk menang Piala Dunia yang kini bermakna perlu menang suku akhir,” kata Mbappe yang turut membantu untuk gol pembukaan Olivier Giroud ketika berdepan Poland.

“Itulah yang saya impikan. Saya tidak datang ke sini untuk menang Bola Emas. Bukan kerana itu saya berada di sini. Saya di sini untuk menang dan membantu pasukan kebangsaan Perancis.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button