Pelabur asing jual saham, aliran keluar RM301.2 juta minggu lalu

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih pada minggu lepas untuk minggu ketiga berturut-turut dengan sejumlah RM301.2 juta iaitu 3.7 kali lebih tinggi berbanding RM81.9 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Ia disebabkan minggu dagangan yang dipendekkan kepada empat hari pada minggu lalu berikutan Isnin iaitu 28 November diumumkan sebagai cuti umum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pembentukan kerajaan perpaduan dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini berkata pelabur asing meraih keuntungan selepas barometer FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat kenaikan mendadak pada minggu sebelumnya apabila Anwar dinamakan sebagai Perdana Menteri.



Mereka ialah penjual bersih setiap hari pada minggu itu kecuali pada Khamis apabila menjadi pembeli bersih dengan RM77.7 juta.

“Jualan bersih paling besar adalah pada Jumaat sebanyak RM298.2 juta disebabkan situasi tidak menentu ekoran pengumuman mengenai barisan Kabinet yang ditunda sebelum akhirnya diumumkan pada malam itu.

“Pelabur asing turut menjadi penjual bersih RM10.7 juta pada Selasa dan RM75.4 juta pada Rabu,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih daripada pelabur asing minggu lepas adalah teknologi dengan RM72.8 juta, utiliti sebanyak RM40.3 juta dan pembinaan berjumlah RM39.4 juta.



MIDF berkata tiga sektor yang merekodkan aliran keluar bersih adalah perkhidmatan kewangan dengan jumlah RM153.5 juta, penjagaan kesihatan sebanyak RM128.1 juta serta produk dan perkhidmatan perindustrian berjumlah RM101.5 juta.

Institusi tempatan pula sebaliknya semakin berdaya tahan untuk merebut peluang pembelian dalam keadaan arena politik yang lebih stabil menerusi pembentukan kerajaan perpaduan.

“Mereka membeli bersih sebanyak RM431.2 juta minggu lepas, tertinggi sejak minggu berakhir 30 Sept 2022 dengan RM669.2 juta.

“Mereka memulakan jualan bersih minggu tersebut sebanyak RM10.7 juta sebelum menjadi penjual bersih pada hari-hari berikutnya, mencatatkan belian bersih paling kukuh pada Jumaat sebanyak RM301.5 juta,” katanya.



Sementara itu, MIDF Research berkata peruncit tempatan berubah menjadi penjual bersih minggu berkenaan dengan jualan bersih sebanyak RM130.1 juta selepas menjadi pembeli bersih selama dua minggu.

Menurutnya peruncit tempatan menjadi pembeli bersih sebanyak RM21.4 juta pada Selasa sebelum menjadi penjual bersih bermula Rabu hingga Jumaat dengan jualan bersih tertinggi pada Khamis berjumlah RM128.4 juta.

Pelabur antarabangsa pula menjadi pembeli bersih selama 26 daripada 48 minggu pada 2022 dengan jumlah aliran masuk bersih RM5.53 bilion manakala institusi tempatan merupakan penjual bersih selama 32 daripada 48 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih RM7.57 bilion.

Sementara itu, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selama 30 daripada 48 minggu dan setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih berjumlah RM2.04 bilion.



Mengenai penyertaan, terdapat peningkatan dari segi purata nilai dagangan harian dalam kalangan pelabur asing dan institusi tempatan dengan masing-masing mencatatkan 61.6 peratus dan 7.6 peratus manakala peruncit merosot 10.5 peratus.

Berhubung prestasi serantau, firma penyelidikan itu menyatakan dana asing terus memasuki ekuiti Asia untuk minggu keenam berturut-turut

“Berdasarkan data agregat sementara bagi tujuh bursa Asia yang kami jejaki, pelabur dikategorikan sebagai ‘asing’ membeli bersih AS$3.26 bilion iaitu 82.0 peratus lebih tinggi berbanding AS$1.79 bilion pada minggu sebelumnya.

“Sebanyak 20 minggu belian bersih dan 28 minggu jualan bersih setakat ini pada tahun ini. Aliran masuk bersih daripada pelabur asing ke ekuiti Asia yang kami jejaki dipacu oleh India, Taiwan, Korea Selatan dan Thailand manakala aliran keluar bersih adalah dari Malaysia, Indonesia dan Filipina,” katanya.



Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button