Permohonan Siti Bainun tangguh bicara ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini, menolak permohonan Siti Bainun Ahd Razali, bagi menangguhkan kes perbicaraan bela diri membabitkan pengasas Rumah Bonda itu, atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan dikenali Bella.

Hakim Izralizam Sanusi, membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan berkenaan adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Pihak pembelaan Siti Bainun membuat permohonan atas alasan perlu menunggu pendengaran prosiding semakan notis usul terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi, pada Khamis ini.



“Pertuduhan terbabit juga tidak cacat dan memperjudiskan tertuduh. Oleh itu adalah jelas dakwaan Siti Bainun bahawa tiada pertimbangan mengenai pertuduhan adalah tidak berasas dan mengelirukan.

“Pihak peguam juga ada meminta penangguhan atas alasan kesihatan tertuduh yang dimasukkan ke wad pada 28 November lalu, manakala 3 Disember dan lima hari selepas itu, tertuduh akan menjalani pembedahan.

“Bagaimanapun, surat bertarikh 2 Disember diserahkan kepada mahkamah tidak memaklumkan mengenai pembedahan dilakukan. Saya memerlukan penjelasan untuk menggunakan budi bicara bagi penangguhan.

“Tiada dokumen dan sijil cuti sakit (MC) tetapi ada pengesahan surat masuk wad akibat masalah kesihatan. Selanjutnya saya memerlukan dokumen dan penjelasan lanjut daripada peguam, maka prosiding bersambung 2.30 petang ini,” katanya.



Terdahulu, peguam bela Siti Bainun, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor, berkata prosiding perlu ditangguhkan kerana pengasas Rumah Bonda itu perlu menjalani dua pembedahan bulan ini.

Pembedahan membabitkan penyakit paru-paru dan hempedu dijadualkan masing-masing pada kelmarin serta Khamis ini.

“Namun, tiada pembedahan dilakukan pada kelmarin, kerana Siti Bainun diberikan antibiotik akibat saluran pernafasan tersumbat. Saya percaya akan ada tarikh baharu berhubung dua pembedahan itu.

“Semakan notis usul pula akan didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada Khamis ini, tanpa kehadiran Siti Bainun.



“Saya dengan rendah diri berhujah penggantungan prosiding diberikan kerana ia tidak akan memperjudiskan mana-mana pihak memandangkan isu difailkan berkaitan pertuduhan kes itu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, membantah permohonan itu mengikut notis usul yang difailkan melalui afidavit jawapan pada Jumaat lalu.

“Pihak responden (pendakwaan) sudah menjawab dan kami bergantung kepada afidavit jawapan untuk bantah penangguhan berkenaan yang bersifat remeh, mengaibkan, menyusahkan serta bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan kes,” katanya.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diarahkan membela diri terhadap dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.



Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri bermula hari ini hingga Jumaat ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button