Scaloni tak sabar jumpa Van Gaal
DOHA: Lionel Scaloni amat menantikan pertembungan dengan jurulatih Belanda, Louis van Gaal dalam aksi suku akhir Piala Dunia selepas pasukan kendaliannya, Argentina menewaskan Australia 2-1, Sabtu lalu.
Ledakan gol Lionel Messi dan Julian Alvarez membolehkan Argentina meraih kedudukan selesa di Stadium Ahmad bin Ali di Qatar, sebelum Enzo Fernandez menjaringkan gol sendiri.
Argentina dijadual bertemu Belanda dalam pertembungan lapan terbaik pada awal pagi Sabtu ini selepas Belanda menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1.
Pertembungan itu bakal menyediakan ‘pentas’ buat Scaloni, 44, untuk membuat perhitungan dengan Van Gaal yang menjadi idolanya ketika dia masih bergelar pemain.
“Saya berada di Deportivo La Coruna ketika dia mengendali Barcelona dan dia sudah pun menjadi figura disegani, saya berbangga dapat bersaing dengannya, semua orang tahu apa yang dilakukannya dalam bola sepak,” kata Scaloni mengenai Van Gaal yang kini berusia 71 tahun.
Scaloni adalah sebahagian daripada skuad Deportivo yang berjaya mengatasi Barcelona untuk menjulang gelaran La Liga pada 2000.
Dia berkata, pasukan Belanda kali ini tidak begitu berbakat berbanding generasi sebelumnya namun tetap bakal memberikan persaingan sengit kepada Argentina.
“Ia tidak begitu bagus seperti pasukan Belanda yang sebelumnya tetapi mereka sangat jelas dengan apa yang mereka lakukan,” kata Scaloni.
“Ia akan menjadi satu perlawanan yang hebat antara dua pasukan bersejarah. Satu daripada akan tersingkir, kami harap kami dapat melepasinya.”
AFP