Tak rela Portugal jadi mangsa kejutan

Doha: Pemain tengah Portugal, William Carvalho berazam memastikan pasukannya mengelak daripada menjadi mangsa satu lagi kejutan di Piala Dunia apabila bertemu Switzerland pada pusingan 16 terakhir, Rabu ini.

Ia selepas Arab Saudi menewaskan Argentina dan Jepun menang menentang Jerman serta Sepanyol, keputusan yang mengejutkan ramai pihak.

Australia juga hampir mengheret Argentina ke masa tambahan pada aksi pusingan kedua dan Carvalho menegaskan dia serta pasukan perlu kekal berhati-hati menjelang perlawanan bertemu Switzerland.

“Saya pasti kami akan berdepan dengan pasukan Switzerland yang mempunyai banyak penguasaan bola,” kata pemain tengah Real Betis itu pada sidang akhbar.

“Terdapat kejutan yang sangat besar, itu fakta, jadi kami perlu fokus dari minit pertama hingga akhir supaya segalanya berjalan lancar.”

Portugal tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan terakhir kumpulan tetapi mereka sudah layak ke saingan kalah mati dan kekal di kedudukan teratas peringkat kumpulan.

“Tiada sesiapa yang mahu kalah. Kami perlu menganalisa perlawanan itu serta mengambil pengajaran daripadanya supaya ia tidak berlaku pada masa depan.

“Saya rasa Portugal perlu beraksi sepertimana kami lakukan pada dua perlawanan pertama. Bersatu hati dari mula sehingga tamat perlawanan,” kata Carvalho.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker