Teman lelaki antara tiga suspek direman

Oleh – Syeikh Baran


Teman lelaki antara tiga suspek direman
Lokasi penemuan rangka di dalam sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani Tongkang Pecah.

Teman lelaki kepada ibu tunggal Mila Sharmila Samsusah, 32 atau Bella antara tiga individu yang direman bagi membantu siasatan dalam penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah sewa terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu direman bersama dua lagi suspek masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ya, salah seorang suspek iaitu suspek utama adalah teman lelaki kepada Mila Sharmila yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari ini, untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sebelum itu, Ismail memaklumkan sampel patalogi rangka manusia yang ditemui kira-kira 2 petang pada Jumaat sudah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mendapatkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Katanya, ujian DNA dijalankan bagi mengenal pasti identiti rangka yang ditemui terbabit.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan reman teman lelaki Mira Sharmila sebelum dibebaskan lima hari kemudian dengan jaminan polis.

Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker